Kelancaran Mesyuarat Cawangan UMNO Perkasakan Ukhwah Ahli-ahlinya
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Lateffah Aliyaru Kunju berkata persidangan mesyuarat Cawangan UMNO yang baru saja melabuhkan tirainya pada 30 Mei lalu membawa satu manifestasi baru kepada akar umbi untuk memperkasakan ukhwah dikalangan ahli-ahlinya di akar umbi.
Katanya, situasi semasa mesyuarat cawangan menyaksikan kebangkitan yang ketara apabila anak-anak muda menghadiri persidangan tersebut secara sukarela atas kesedaran kepada apa yang terjadi sejak kebelakangan ini.
“Mood ahli-ahli UMNO di akar umbi sangat baik dan kelihatan perubahan ketara dengan kehadiran bertambah berbanding sebelum ini yang turut disertai oleh golongan anak muda.
“Anak-anak muda sekarang ini memberi sokongan dan komitmen yang memberangsangkan serta bersemangat… kita lihat seolah-olah UMNO diberi nafas baru oleh generasi ini,” katanya kepada UMNO-Online.
Jelas Lateffah, pada situasi sekarang ini dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tidak konsisten, ramai anak-anak muda kembali menyokong dan memberikan komitmen yang sangat tinggi terhadap UMNO disebabkan mereka terlalu kecewa dengan sikap pimpinan PH serta janji-janji dalam manifestonya yang tidak ditunaikan.
Justeru kehadiran anak-anak muda dalam mesyuarat cawangan amat menakjubkan dan luar biasa.
“Ia seolah-olah memberi nafas baru kepada generasi baharu ini bahawa UMNO ini masih relevan dan mereka dapat memperkasakan UMNO kembali.
“Ahli-ahli UMNO memberikan komitmen dan sokongan kepada UMNO melalui kehadiran yang sangat baik dan apabila ditanya kenapa tidak hadir sebelum ini, mereka merasakan UMNO sudah kuat dan kukuh tetapi sekarang ini keadaan sudah berubah dan mereka mahu UMNO memerintah semula negara ini.”
Tegasnya, walaupun landskap politik yang kini kian mencabar namun sokongan, semangat dan komitmen dari ahli-ahli UMNO sangat penting sama ada ahli yang lama mahupun yang baru dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti ini.
Tarikh mesyuarat UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung bermula 15 Feb hingga 30 Mei lalu dengan tempoh yang panjang bagi memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus menyuarat-mesyuarat tersebut.
Sementara itu, Majlis Tertinggi UMNO telah menetapkan mesyuarat UMNO Bahagian berlangsung daripada 15 Jun sehingga 15 Ogos 2019 manakala Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan pada 13–16 Nov depan dengan satu hari akan diperuntukkan bagi Perhimpunan Agung UMNO Khas (EGM). – MediaUMNO