Isu Orang Asli Kuala Koh: PH Perlu Serius, Segerakan Tubuh Jawatankuasa Khas Siasatan


CAMERON HIGHLANDS, 12 Jun – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mendesak agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memandang serius permasalahan yang berlaku terhadap masyarakat Orang Asli di Kuala Koh dan berharap Kementerian yang bertanggungjawab dapat mempercepatkan siasatan.

Jelas beliau, sekarang ini bukanlah masa untuk menuding jari kepada mana-mana pihak dan permasalahan ini juga tidak wajar dipolitikkan kerana ia melibatkan nyawa manusia.

“Bagi saya nyawa manusia bukan untuk mainan politik justeru saya sarankan agar satu Jawatankuasa Khas Siasatan dianggotai oleh para profesional dalam bidang berkaitan ditubuhkan segera bagi mengenal pasti apa punca musibah ini terjadi.

“Kita tidak mahu isu ini berpanjangan dan terus mengorbankan nyawa atau kesihatan Orang Asli selepas ini. Kita tidak tahu nasib sebahagian daripada mereka yang masih bertarung nyawa di hospital dan jika benar punca kematian mereka adalah disebabkan pencemaran air oleh bahan kimia yang digunakan bagi aktiviti perlombongan bijih besi itu, saya harap pihak Kerajaan dapat mengambil tindakan undang-undang yang sepatutnya ke atas pengusaha lombong dan mengarahkan aktiviti tersebut dihentikan serta merta.

“Apa yang penting, janganlah penyelesaian isu Orang Asli ini hanya diberi perhatian bermusim saja ibarat hadir bila timbul isu berduyun-duyun, bila reda lupa dan senyap sunyi.

“Selain itu, saya juga telah merangka beberapa soalan dan cadangan yang akan saya bawa ke sidang Parlimen sesi Julai ini untuk diajukan kepada kementerian-kementerian yang bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Ramli, beliau berharap kementerian yang terbabit dapat memberi penjelasan yang baik kerana ia bakal dinilai oleh rakyat.

“Jawapan Menteri berkaitan nanti dapat menggambarkan sama ada ia berbentuk retorik dan ‘Lip Services’ penyedap mulut untuk didengar atau jawapan mengelak atau sememangnya kerajaan pusat ambil peduli kesejahteraan masyarakat Orang Asli Semenanjung.

“Sebagai satu-satunya Ahli Parlimen dari masyarakat kaum Asli maka semestinya saya mengambil berat tentang apa yang terjadi di Kuala Koh ini dan ia ibarat cubit peha kiri peha kanan terasa jua,” ujarnya lagi.

Selain itu Ramli turut mempersoalkan apakah perkembangan ‘Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli Nasional’ yang dihimpunkan selepas Konvensyen Orang Asli Semenanjung yang diadakan April lalu.

“Baru-baru ini kerajaan PH menghebahkan akan mengadakan pelan tersebut namun sehingga hari ini ia masih tidak ada khabar berita. Jika benar akan wujud pelan tersebut, saya akan pantau pencapaian ‘KPI’nya. Harapan saya, janganlah perkara ini hanya tinggal dalam lipatan sejarah saja,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.