Akar Umbi Teguh Sokong UMNO, Yakin Bangkit Pertahan Perjuangan Agama, Bangsa Dan Negara


KUALA LUMPUR, 12 Jun – Setiausaha Kerja UMNO Negeri Terengganu, Razali Bidin menjelaskan kesungguhan yang dilakukan oleh ahli akar umbi dalam memastikan kelancaran persidangan tahunan mesyuarat Cawangan UMNO yang berakhir baru-baru ini membuktikan sokongan kepada UMNO tetap relevan.

Menurut beliau, UMNO Terengganu yang mempunyai 1,055 cawangan melibatkan akar umbi parti dari pelbagai peringkat di seluruh negeri berkenaan tidak ada yang dibubarkan malahan anggotanya amat bersemangat dalam merealisasikan tanggungjawab menjayakan mesyuarat.

“Hampir 99 peratus mesyuarat Cawangan UMNO selesai dan ini dapat dilihat penglibatan akar umbi terutamanya generasi muda semakin mendekati dan menghargai parti yang teguh dalam perjuangan untuk agama dan bangsa.

“Perjalanan mesyuarat cawangan UMNO berlangsung dengan lancar dan teratur walaupun ada cawangan yang melaksanakan mesyuarat pada bulan puasa,” katanya kepada UMNO-Online.

Tarikh mesyuarat UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung bermula 15 Feb hingga 30 Mei lalu dengan tempoh yang panjang bagi memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus menyuarat-mesyuarat tersebut sementara Mesyuarat UMNO Bahagian bakal bermula pada 15 Jun ini.

Katanya, mesyuarat cawangan UMNO pada bulan puasa lalu bukannya suatu alasan bagi akar umbi tidak melakukannya malah ia banyak memberi iktibar untuk bermuhasabah apatah lagi UMNO kini menjadi pembangkang.

“Kita dapat lihat bahawa UMNO semakin disayangi dan disukai oleh semua lapisan masyarakat.

“Perubahan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO secara total dan memberikan komitmen yang sepenuhnya untuk membela rakyat telah menyebabkan anak-anak muda terasa dihargai oleh UMNO dan kembali memberi kepercayaan agar UMNO dapat memimpin negara semula.

“Anak muda mengharapkan agar UMNO dapat kembali memimpin negara yang semakin tidak stabil apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.