Sekretariat Suara Rakyat Buat Laporan SPRM, Polis Terhadap Azmin


KUALA LUMPUR, 11 Jun – Sekretariat Suara Rakyat petang ini akan mengadakan satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salahlaku bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jelas Pengerusinya, Datuk Lokman Noor Adam dalam siaran di platform media sosialnya, laporan yang akan diserahkan ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pada jam 2 petang ini berhubung satu dokumen yang telah diperolehinya daripada seorang individu mengenai satu pemindahan dana oleh UEM Group Berhad sebanyak USD 741,440 kepada akaun atas nama Mohamed Azmin Bin Ali, di Deutsche Bank AG – ZR BR, no akaun 0061508230587 pada 19hb Disember, 2017.

“Saya merasakan tidak ada sebarang sebab munasabah untuk UEM Group Berhad memindahkan wang sebanyak itu ke dalam akaun Mantan Menteri Besar Selangor di luar negara,” katanya.

Ujar Lokman, laporan tersebut juga sebagai memberi peluang kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya untuk menyiasat sesiapa sahaja tanpa pilih kasih.

“Laporan ini saya buat untuk memberi peluang kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Cik Latheefa Koya untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa SPRM di bawah pimpinannya akan menyiasat sesiapa sahaja termasuk mereka yang satu kem dengan beliau serta akan menghadapkan mereka di muka pengadilan,” tegas Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tambah Lokman lagi, selepas laporan SPRM tersebut, beliau akan membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung satu rakaman audio lucah dan tiga rakaman video lucah oleh dua individu lelaki yang dihantar kepadanya melalui aplikasi WhatApps.

“Salah seorang individu yang terdapat di dalam video tersebut mirip wajah seorang ahli politik.

“Laporan ini saya buat bagi menyiasat kesahihan video tersebut dan meminta pihak polis mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang menyebarkan, yang berlakon di dalam video tersebut dan menghasilkan video tersebut,” desaknya lagi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.