Dakwaan Salah Laku… Sekretariat Suara Rakyat Lapor SPRM, Peluang Latheefa Koya Bukti Kepimpinan


PUTRAJAYA, 11 Jun – Laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Sekretariat Suara Rakyat hari ini memberi peluang kepada Ketua Pesuruhjayanya yang baru, Cik Latheefa Koya untuk membuktikan di bawah kepimpinannya, beliau tidak akan ‘bias’, akan bersifat neutral dan akan menyiasat serta mengambil tindakan kepada sesiapa juga termasuk mereka yang datangnya daripada kelompok politik beliau, tegas Pengerusinya Datuk Lokman Noor Adam

Hari ini Sekretariat Suara Rakyat telah membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan salah laku mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali atas dakwaan mengenai pemindahan dana oleh UEM Group Berhad terhadap akaun mantan Menteri Besar Selangor di luar negara.

“Hari ini (Selasa), 11 Jun, 2019, saya membuat satu laporan SPRM berhubung satu dokumen yang telah saya perolehi daripada seorang individu mengenai satu pemindahan dana oleh UEM Group Berhad sebanyak USD 741,440 kepada akaun atas nama Mohamed Azmin Bin Ali, di Deutsche Bank AG – ZR BR, no akaun 0061508230587 pada 19hb Disember, 2017 iaitu ketika Azmin menjadi Menteri Besar Selangor.

“Kehadiran saya untuk membuat laporan kerana saya merasakan tidak masuk akal untuk UEM Group Berhad memindahkan wang sebanyak itu ke dalam akaun Mantan Menteri Besar Selangor di luar negara,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Kata Lokman, laporan tersebut juga untuk memberi peluang kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru membuktikan di bawah kepimpinannya, beliau tidak akan ‘bias’ dan akan bersifat neutral.

“Kita tahu Cik Latheefa Koya merupakan bekas ahli pimpinan tertinggi PKR sama zaman dengan saya dahulu dan kita harapkan ada satu keajaiban iaitu Cik Latheefa Koya akan menyiasat YB Azmin Ali.

“Dan jika didapati memang benar berlakunya pemindahan wang ini, dokumen yang akan kita serahkan ini adalah benar maka kita harap mereka akan mengambil tindakan menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara dan terpulang kepada jabatan berkenaan untuk mengambil tindakan atau pun tidak,” ujarnya.

Pada sidang media yang sama, beliau turut memaklumkan akan membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung satu rakaman audio lucah dan tiga rakaman video lucah oleh dua individu lelaki yang dihantar kepadanya melalui whats-app.

“Salah seorang individu yang terdapat di dalam video tersebut macam mirip seorang ahli politik. Saya tidak tahu siapa… Laporan ini saya buat bagi menyiasat kesahihan video tersebut dan meminta pihak polis mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang menyebarkan, dan kita juga meminta pihak polis menyiasat siapakah yang berlakon di dalam video tersebut,” tambahnya.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.