Biarpun Dah Jadi Pembangkang, UMNO Teruskan Perjuangan… Akar Umbi Teguh Pertahan Parti


ALOR SETAR, 11 Jun – Setiausaha Kerja UMNO Negeri Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, walaupun Kedah antara negeri milik Barisan Nasional (BN) yang tewas teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, namun sokongan akar umbi tetap teguh malah tidak ada satu pun Cawangan UMNO yang mohon dibubarkan.

Jelas beliau, apa yang lebih menarik adalah sebanyak 2,225 Cawangan di negeri itu menerima kehadiran anggota mesyuarat yang amat menggalakkan walaupun diadakan di bulan Ramadan sebelum ini.

“Walaupun pemimpin-pemimpin UMNO ditempelak dari kiri ke kanan namun semangat yang dijuangkan menjadi contoh dan ikutan kepada ahli–ahli UMNO yang ingin melihat UMNO terus dipertahankan serta diperkukuhkan walau apapun yang terjadi. Maka sebab itulah semua cawangan masih kekal utuh tanpa ada satu pun yang dibubarkan.

“Tahun lalu, mesyuarat cawangan juga diadakan dalam bulan puasa tetapi sambutannya tidak begitu hebat. Namun begitu melihat kepada mesyuarat Cawangan yang lalu nampaknya walaupun kita dah jadi pembangkang tetapi sambutan amat memberangsangkan. Ini jelas menunjukkan ahli UMNO masih bersemangat dan mahu melihat parti keramat ini bangkit daripada sejarah hitam PRU-14.

“Akar umbi juga jelas mahu memastikan PRU-15 nanti UMNO akan memberi saingan yang hebat kepada kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan sebab itulah semua cawangan di negeri ini masih utuh dan kekal,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Ariffin, walaupun masih ada cawangan yang masih belum mengadakan mesyuarat namun beliau yakin semuanya akan dapat diadakan dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh Ibu Pejabat UMNO.

“Saya amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh akar umbi. Jelas… mereka masih yakin bahawa parti UMNO adalah parti yang menjaga maruah orang Melayu serta menjaga kemakmuran kaum-kaum yang lain, parti yang tidak mengamalkan rasis dan parti yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat.

“… kerana itulah perjalanan mesyuarat lancar dan saya tidak menerima satu pun aduan yang tidak berpuas hati,” luahnya lagi.

Tarikh mesyuarat UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung bermula 15 Feb hingga 30 Mei lalu dengan tempoh yang panjang bagi memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus menyuarat-mesyuarat tersebut sementara Mesyuarat UMNO Bahagian bakal bermula pada 15 Jun ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.