Rakyat Enggan Tertipu Dengan PH Lagi, Tekad Bangkit Bersama UMNO Buat Perubahan


KUALA LUMPUR, 10 Jun – Kejayaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu ternyata bukanlah bersandarkan fakta sebaliknya penuh dengan penipuan dan fitnah yang menjadikan rakyat hari ini khususnya golongan muda mula sedar dan bersedia membuat semula perubahan melalui kebangkitan UMNO, kata Setiausaha Kerja UMNO Negeri Wilayah Persekutuan, Muhamad Harif Ahamat.

Ujarnya, ini adalah berdasarkan kepada perkembangan semasa yang menyaksikan banyak janji-janji menerusi manifesto PH gagal dilaksanakan.

“Golongan muda merasa dirinya tertipu apabila kerajaan PH gagal dalam melaksanakan manifestonya terutama sekali melibatkan soal perbelanjaan bulanan barang keperluan dapur sehinggalah kepada kos-kos lain yang semakin meningkat dan tidak terkawal,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, golongan muda ini terpesona dengan janji-janji manis yang dibuat oleh PH semasa PRU-14 lalu serta pandangan-pandangan anak muda tidak diambil berat yang menyebabkan golongan ini merasa kecewa dan merasakan kerajaan PH gagal dalam mentadbir segala aspek keperluan rakyat.

“Situasi ini membangkitkan kesedaran kepada mereka bahawa UMNOlah parti perjuangan yang benar-benar mengutamakan rakyat lantas mesyuarat Cawangan lalu menjadi aspirasi buat mereka bagi memberikan sokongan untuk bangkit bersama UMNO.

“Ianya dapat dilihat berdasarkan kehadiran ahli-ahli semasa persidangan UMNO Cawangan dan perlu diakui bahawa pergerakan sayap khususnya Wanita UMNO amat bersemangat dalam menentukan kekuatan menggerakkan parti dan juga merupakan jentera paling hadapan untuk menentukan kekuatan UMNO.

“Pemuda dan Puteri juga menunjukkan komitmen yang tinggi mewakili golongan muda dan golongan ini begitu ‘vokal’ dalam menyuarakan usul serta pelbagai perkara yang dibangkitkan,” katanya yang memaklumkan bahawa mesyuarat Cawangan UMNO di Wilayah Persekutuan lancar.

Sehubungan itu katanya, kesetiaan dan sokongan antara satu sama lain telah menjadikan UMNO kukuh terutamanya di akar umbi.

“Rakyat kini berharap agar UMNO dapat mentadbir kembali negara ini serta menjaga kebajikan semua terutamanya sekali golongan muda.

“Secara keseluruhannya ahli-ahli UMNO masih berkeyakinan akan agenda perjuangan parti yang keramat ini,” tambahnya lagi. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.