Syabas PH Teruskan Tradisi Mungkir Janji, 7 Kes Berprofil Tinggi Buktikan Kemandirian Latheefa Koya


KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan selamat bertugas dan tahniah di atas perlantikan bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Puan Latheefa Beebi Koya selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, syabas juga kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana meneruskan tradisi dan konsistensi mereka untuk terus memungkiri janji manifesto pilihanraya kepada rakyat yang ditanggapi bukan kitab suci yang wajib dipatuhi.

“Justeru, bagi memberi peluang kepada Puan Latheefa Koya membuktikan kesungguhan dan mengotakan janji beliau untuk membersihkan Malaysia daripada rasuah, Pemuda UMNO menyarankan agar beliau haruslah ‘without fear and favour’ mempercepatkan dan membuka kembali kertas siasatan tujuh kes berprofil tinggi melibatkan rakan-rakan pimpinan PH beliau yang ‘disenyapkan’.”

Katanya, ini termasuklah:

(1) Kes rasuah dan salah gunakuasa di dalam projek Terowong Bawah Laut yang melibatkan YB Lim Guan Eng, Menteri Kewangan sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

(2) Kes pembelian Banglo yang mencurigakan melibatkan YB Lim Guan Eng Menteri Kewangan sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ahli Perniagaan Pang Li Khoon.

(3) Kes berkaitan kejanggalan senarai keanggotaan parti serta dakwaan pembelian undi di dalam pemilihan PKR yang lepas.

(4) Kes rasuah berkaitan pembelian Merdeka Palace Kuching Sarawak oleh Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Zahid Mat Arif sewaktu beliau menjadi Pegawai Khas Tan Sri Isa Samad, Pengerusi FELDA.

(5) Kes penerimaan wang sejumlah RM800,000 dari 12 kontraktor melibatkan Mohd Azhar Che Mat Dali, Setiausaha Politik YB Menteri Pertahanan, Muhammad Sabu.

(6) Kes memonopoli kontrak perolehan Kementerian oleh anak kepada Menteri Perlancongan, Seni dan Kebudayaan, YB Datuk Muhammadin Ketapi.

(7) Kes terbaharu yang didedahkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Syukri Abdull di dalam mesyuarat yang melibatkan Menteri-Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian yang dipengerusikan Perdana Menteri berkenaan arahan seorang Menteri Kabinet terhadap penerima kontrak kerajaan untuk menyalurkan dana kepada parti tertentu dengan ugutan untuk menarik balik kontrak jika gagal melakukannya.

Tegas beliau, setakat hari ini, ironinya maklumbalas yang diterima dari SPRM mengenai kes-kes di atas sama ada ‘masih dalam siasatan’ atau ‘tiada tindakan lanjut’ seolah-olah ‘disenyapkan’.

“Oleh yang demikian, bagi membuktikan kewibawaan dan integriti bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Pemuda UMNO mendesak supaya tujuh kes di atas dapat disegerakan tindakannya dan didedahkan statusnya kepada rakyat!” tegas beliau dalam kenyataan menerusi facebooknya. – MediaUMNO