Fitnah Jahat Malaysiakini Terhadap Institusi Diraja Johor


JOHOR BAHRU, 9 Jun – Laporan Malaysiakini bertajuk ‘Undangan khas Aidilfitri Sultan Ibrahim hanya buat UMNO Johor’ petang tadi adalah fitnah jahat portal tersebut terhadap institusi diraja Johor.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Mad Shah yang menjelaskan, kunjungan bersempena sambutan Aidilfitri itu bukan atas dasar jemputan tetapi permohonan yang dibuat untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Katanya, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun parti politik boleh membuat permohonan untuk mengadap Sultan Ibrahim melalui saluran rasmi.

“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohamed ianya adalah suatu permohonan menghadap sempena Aidilfitri bukannya suatu jemputan dari Sultan Johor. Berdasarkan permohonan tersebut, Tuanku berkenan untuk menerima menghadap Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

“Laporan Malaysiakini yang berbentuk fitnah ini perlu dijauhkan agar tidak menyinggung perasaan terutamanya Sultan Johor. Kenyataan ini perlu diturunkan seterusnya permohonan maaf perlu dikeluarkan oleh penulis berita ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Petang tadi, Malaysiakini mengeluarkan satu laporan bertajuk ‘Undangan khas Aidilfitri Sultan Ibrahim hanya buat UMNO Johor’ berikutan Sultan Johor telah menerima menghadap Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor pada hari ini sempena sambutan Aidilfitri.

Mohd. Hairi berkata, perkara ini dicemarkan oleh fitnah jahat yang dikeluarkan Malaysiakini bersumberkan perisik yang tidak sahih menceritakan keadaan sebenar-benarnya.

Katanya, pada hantaran dalam Facebook rasmi Sultan Johor, baginda bertitah bahawa kunjungan pelbagai pihak sempena sambutan Aidilfitri dapat mengeratkan hubungan silaturahim.

“Sesungguhnya baginda amat menitikberatkan perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira agama atau kaum.

“Semoga Aidilfitri ini kita sama-sama menjadi bangsa Johor yang berfikir dan bertamadun serta dijauhkan dari propaganda jahat mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.