SPRM ‘Di Bawah Pengaruh, Cengkaman Politik’?

WANITA UMNO mengucapkan tahniah atas pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, sekali gus menjadi wanita pertama yang memegang jawatan itu.

2. Pelantikan ini merupakan langkah positif bagi memperkasakan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan namun, apakah pelantikan Latheefa melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pelantikan Awam Utama?

3. Jika ini tidak berlaku, bermakna Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memperlekehkan Jawatankuasa itu yang ditubuhkan untuk pelantikan seumpama ini bagi memastikan terdapat ketelusan yang lebih baik dalam hal pelantikan yang utama.

4. Umum mengetahui bahawa Latheefa adalah ahli sepenuh masa Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta bergiat aktif dalam politik secara terbuka.

5. Justeru, pelantikan ini dilihat meletakkan institusi penguatkuasa seperti SPRM seolah berada ‘di bawah pengaruh dan cengkaman politik’.

6. Pada masa yang sama, imej SPRM juga tercalar kerana ini merupakan kali pertama dalam sejarah, pihak yang dilantik tidak mempunyai sebarang pengalaman kerja dalam bidang berkaitan SPRM dan bukan di kalangan penjawat awam.

7. Justeru, Wanita UMNO menggesa pihak Kerajaan menjelaskan perkara ini dan Kerajaan tidak seharusnya lupa dengan prinsip ‘Rule of Law’ yang sering dilaungkan oleh PH.

YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad
Ketua Wanita UMNO Malaysia
Merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong