Gagal Tunai Janji Gambaran Kepada Kerajaan Yang Gagal – Azhari
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Isu dan pelbagai perkara berbangkit mutakhir ini seperti janji berhubung Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih belum reda, kebajikan untuk warga Felda yang ‘permainkan’ seperti pemberian bonus hari raya, tol, kamera AES (kini AWAS) termasuklah ingkar janji dalam lantikan politik serta pelbagai perkara lain yang terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) memperlihatkan kerajaan hari ini adalah kerajaan yang gagal.
Apa tidaknya sebelum ini diwar-warkan mereka akan memberikan yang terbaik berasaskan kepada segala janji dan tawaran menjelang pilihan raya umum sebelum ini.
Mengulas mengenainya, Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan pilihan raya adalah proses demokrasi rakyat dan pihak yang menang perlulah menghormati pilihan rakyat yang telah memilih mereka sebagai kerajaan dengan menunaikan janji-janjinya.
“Apa yang saya ingin kongsikan pilihan raya adalah proses demokrasi maka suara rakyat sendiri yang membuat pilihan.
“Justeru yang menang wajar meneruskan agenda negara dan yang tewas akan menjadi pembangkang bagi memastikan proses semak dan imbang dalam sistem berparlimen kekal,” katanya kepada UMNO-Online.
Meneruskan pandangannya, beliau seterusnya menambah pertukaran kerajaan sebelum ini berlaku dalam suasana yang aman dan cukup harmoni malah tidak berlaku sebarang insiden mahupun kekecohan.
“Jika kita semua masih ingat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun lalu pertukaran Kerajaan Persekutuan mahupun negeri dari Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan berlangsung dengan aman.
“Hari ini di negara kita suasana aman sentosa kerana kita ingin melihat bagaimana PH menggunakan mandat yang diberi.”
Tambah beliau, umumnya semua pihak ingin melihat adakah mereka iaitu kerajaan baharu hari ini mampu memenuhi manifesto.
“Atas dasar kematangan politik kita tetap percaya dengan sistem yang ada berasaskan Perlembagaan Persekutuan. Justeru hormatilah kandungannya, maka segalanya pasti aman,” katanya lagi. – MediaUMNO