Tidak Perlu Amalan Luar Biasa Dalam Ibadah Islam

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim perlu berhati-hati agar tidak sampai dilihat mengajak orang Islam untuk membiasakan diri dengan amalan luar biasa dalam menyempurnakan ibadah Islam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membuat kenyataan itu berhubung penganjuran majlis berbuka puasa di Kuil Sikh Gurdwara Sahib, di sini baru-baru ini.

“Sekalipun beliau mahu mengajak orang Islam masuk ke kuil agama lain dan mempromosikan amalan ‘muhibah’, beliau tidak seharusnya mengetepikan tuntutan agama kita khususnya pada bulan Ramadan yang menyeru kepada pengimarahan masjid, bukannya rumah ibadat agama lain.

“Benarlah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa mencampuradukkan amalan dan tradisi agama kita dengan sambutan meraikan semangat muhibah di rumah agama lain adalah sesuatu yang janggal dan menjurus kepada fitnah,” katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata demikian dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Baru-baru ini, tindakan Akmal mengajak masyarakat Islam berbuka puasa dalam kuil Sikh menimbulkan perdebatan daripada orang ramai sama ada menyokong mahupun membantah penganjurannya sehingga mendapat perhatian Sultan Ibrahim. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.