Eratkan Silaturahim Dan Bermaafan Di Aidilfitri


KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan mengharapkan agar umat Islam di negara ini mengambil kesempatan sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut esok dengan saling mengeratkan silaturahim dan bermaafan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta keluarga turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh muslimin dan muslimat.

“Saya dan isteri serta keluarga, ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh muslimin dan muslimat, maaf zahir dan batin.

“Mari kita ambil kesempatan di hari yang berbahagia ini untuk terus mengeratkan siratulrahim dan bermaafan di antara kita. Semoga kita semua akan sentiasa berada didalam peliharaan Allah S.W.T dan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk bertemu kembali di bulan Ramadan al-Mubarak 1441 Hijrah pula, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran ucapan Hari Raya Aidilfitri menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut menjemput orang ramai untuk menghadiri majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri beliau dan keluarga pada 15 Jun nanti.

“Jemput datang ke majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri saya dan keluarga pada 15 Jun nanti di rumah kami di Kampung Tanjung, Rantau, Negeri Sembilan. Terima Kasih dan salam Aidilfitri,” katanya.-UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.