Semangat Syawal, Ramadan Dan Kaamatan Teras Perpaduan UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 3 Jun – UMNO Sabah melahirkan keyakinan tinggi bahawa rakyat Sabah telah melihat sepanjang lebih setahun sejak 9 Mei 2018, adakah berbaloi mereka memilih mandat yang baharu telah benar-benar memberi limpahan yang positif, kata Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi.

“Soalnya sekarang adalah rakyat tidak usah terus terpengaruh dengan dakyah jahat pihak tertentu yang akhirnya akan merugikan kita semua kerana asyik bertelagah sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

1. Genap sebulan menyingkap tabir Ramadhan, umat Islam menyambut kemenangan pada 1 Syawal.

2. Bagi yang benar-benar menghayati kehadiran Ramadhan, tentulah merasai kehilangan bulan mulia itu. Sebaliknya, yang masih lalai dan leka tentu tidak merasai apa-apa dalam hidupnya.

3. Di sebalik Ramadhan melabuhkan tirai dan kemeriahan menyambut Syawal, bagaimana kita seharusnya menyelami erti istiqamah dalam setiap perjuangan dan amalan dilakukan.

4. Kegigihan kita bersahur, mengisi ruang masa solat sunat tahajud, terawih dan solat sunat yang lain. Selepas waktu solat, masa diluangkan untuk membaca kalam Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran al-Karim yang menjadi petunjuk.

5. Satu penilaian tepat yang harus diukur, bagaimana Ramadhan dapat menjadikan kita benar-benar mampu mempertingkatkan jiwa sebagai seorang hamba.

6. Diriwayatkan daripada Aisyah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Justeru, istiqamah untuk terus beramal adalah perkara penting supaya jiwa kita terus dididik melakukan perkara baik dan berterusan biarpun sedikit demi sedikit tanpa rasa jemu sekali pun.

8. Kita perlu melihat makna istiqamah dengan lebih mendalam. Istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah jika kita tidak benar-benar menghayatinya. Orang yang ingin teguh dengan pendiriannya tentu sahaja berhadapan ujian dan cabaran di sebalik niat itu.

9. Ujian ini satu proses mentarbiah diri untuk mendidik jiwa supaya sabar walaupun ditimpa musibah dan dugaan.

10. UMNO Sabah tidak terkecuali dalam hal itu kerana mereka yang benar-benar istiqamah dan tidak putus asa akan menerima kemenangan yang sebenar. Begitulah sandaran melalui kisah Nabi Musa dan Nabi Haron yang istiqamah walaupun berhadapan cabaran daripada kaum Bani Israel serta Firaun.

11. UMNO Sabah melahirkan keyakinan tinggi bahawa rakyat Sabah telah melihat sepanjang lebih setahun sejak 9 Mei 2018, adakah berbaloi mereka memilih mandat yang baharu telah benar-benar memberi limpahan yang positif.

12. Istiqamah adalah hadiah paling besar bagi mereka yang tetap dengan pendirian untuk meneruskan perjuangan yang baik atas semangat Ramadhan, Syawal dan Kaamatan sendiri. Mereka yang benar-benar ikhlas akan terus berusaha berjuang untuk mencapai kejayaan dan kemenangan.

13. Di Sabah, perpaduan dan keharmonian masyarakat menjadi tunjang kepada kemajuan dan perjuangan murni di negeri ini. Sama seperti Ramadhan dan Syawal, sambutan Hari Kaamatan memberi peluang kepada anggota masyarakat mengenali, memahami dan menghargai adat serta budaya suku kaum masing-masing.

14. Sehubungan itu, kita harus bersama-sama menghayati mesej penting seperti Hari Kaamatan mengingatkan setiap anggota masyarakat tentang kepentingan sesuatu budaya dalam memperkukuh ikatan perpaduan rakyat berbilang kaum, agama serta budaya di negeri ini.

15. Istimewa orang Sabah adalah kami telah lama hidup bersaudara dalam keadaan harmoni. Saya hormat agama dan budaya kamu, kamu hormat agama serta budaya saya. Jika kita berpegang kepada prinsip ini, saya yakin kita hidup dalam keadaan harmoni.

16. Soalnya sekarang adalah rakyat tidak usah terus terpengaruh dengan dakyah jahat pihak tertentu yang akhirnya akan merugikan kita semua kerana asyik bertelagah sesama sendiri. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.