Rungutan Rakyat Kenaikan Bil Elektrik… Kerajaan Perlu Serius Tangani

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Adnan Seman berkata pihak Tenaga Nasional (TNB) dan kementerian yang berkenaan perlu segera mencari jalan penyelesaian berhubung kenaikan bil elektrik yang menimbulkan kemarahan rakyat serta para netizen di media sosial.

Menurut beliau langkah segera dan penyesaian terbaik harus dicari sebaik mungkin supaya apa yang dialami oleh pengguna TNB mendapat keadilan dan tumpuan sewajarnya.

“Memang satu dua hari begitu panas dan rata-rata netizen berkongsi gambar dengan ada yang memaparkan bil elektrik, ada juga yang berkongsi apps data penggunaan bil elektrik yang menunjukkan rata-rata kenaikan melebihi 100 peratus… ada yang 40 peratus… dan ada yang 20 peratus yang mana puratanya cukup tinggi.

“Saya ada mendapat penjelasan daripada pihak-pihak yang berkongsi pandangan kononnya kenaikan itu berpunca daripada pengiraan prorata yang melebihi 30 hari dan bagi saya ini adalah tidak wajar,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, jika TNB memberi alasan pengiraan itu dibuat melebihi 30 hari, mungkin atas faktor kekurangan kakitangan dan sebagainya ia boleh lagi menimbulkan persoalan.

“Jumlah bil-bil sebelum ini dikeluarkan oleh pembaca meter TNB ini… orang yang sama. Maknanya kenapa kali ini timbul isu melebihi bacaan 30 hari dan diproratakan menjadikan penggunaan jumlah penggunaannya tinggi.

“Dan inilah yang menjadi kemarahan netizen lebih-lebih lagi penghujung Ramadan. Dengan kenaikan kos-kos yang pelbagai membebankan pengguna dan kita menuntut penjelasan daripada TNB dan pihak kementerian yang berkaitan perlulah segera menyelesaikan isu ini.

“Ini perkara yang menyedihkan kita dan berlaku apabila kita nak masuk penghujung Ramadan dan akan menyambut Syawal dalam beberapa hari sahaja lagi…sepatutnya hari raya kita gembira tetapi dibebankan dengan kenaikan itu,” ujarnya lagi.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.