Raya Setahun Bersama PH Dengan Janji Yang Belum Tertunai
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Hari raya kali ini, membawa ribuan persoalan dan tuntutan daripada masyarakat Malaysia kerana selepas setahun Pakatan Harapan (PH) merampas Putrajaya mereka masih gagal menunaikan janji-janji manis yang dicanang bertahun-tahun, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias.
Katanya, masyarakat kini masih terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi dan rakyat juga kesal dengan pentadbiran PH yang gagal menunaikan janji 100 hari mereka.
“Isu dan janji pemansuhan tol, penghapusan hutang peneroka Felda, dan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bergaji bawah RM4,000 yang dituntut rakyat dan bermacam janji yang terus di nanti umpama ‘buah yang tidak mungkin gugur’.
“Malah, PH juga ibarat cakap tak serupa bikin, selepas melantik orang politik menjadi lembaga kepada Syarikat berkaitan Kerajaan (GLCL).
“Prinsip dan pembelaan PH berdaulatkan agama Islam dan Melayu juga masih rapuh selepas berlakunya beberapa perlantikan yang tidak wajar sama sekali dalam jawatan-jawatan penting kerajaan, Isu ICERD dan Statut Rom,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas itu, katanya, timbul pula tragedi hitam mengorbankan anggota bomba Muhamad Adib yang sehingga kini masih belum mendapat keadilan.
“Apakan daya, rakyat kini semakin menghitung hari untuk mengundi semula. Isu ekonomi yang gagal diselesaikan kerajaan pasti menjerat Pakatan Harapan. Dan saya yakin, Barisan Nasional (BN) terus bangkit membela rakyat.”
Katanya, beliau amat sedar dan simpati kebanyakan dari rakyat merayakan Aidilfitri kali ini dalam keadaan yang serba kekurangan apatah lagi masyarakat luar bandar dan golongan peneroka.
“Orang bandar juga sangat terkesan kali ini dengan himpitan ekonomi serta kos sara hidup yang membuak buak, ini lah yang kita sedang hadapi apabila kerajaan yang mendapat mandat dari rakyat gagal mengurus tadbir negara seperti yang kita nikmati sejak merdeka.
“Bangkitlah rakyat, bangkitlah bersama kami menentang kezaliman yang sedang bermaharajalela di hadapan mata.
“Insya-Allah saya bersama rakan-rakan akan terus bersuara dan memperjuangkan sehabis daya demi masyarakat Malaysia tercinta.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan dan sahabat khususnya rakyat dari kawasan Parlimen Jelebu, Maaf Zahir Batin,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jelebu.
Dalam masa yang sama beliau turut menyertakan serangkap pantun:
Burung tempua terbang tinggi,
Singgah sebentar di celah papan;
PH memang wayang tinggi,
Janji tinggal janji, harapan tinggal harapan. – MediaUMNO