Sultan Johor Tegur Tindakan Berbuka Puasa Di Kuil

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegur perbuatan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berhubung tindakannya menghadiri majlis berbuka puasa di Gurdwara Sahib.

Sultan Ibrahim bertitah, tindakan itu jelas tidak menjaga sensitiviti umat Islam yang sedang menjalankan ibadah puasa.

Baginda juga bertitah, acara yang diadakan seumpama itu di rumah ibadat bukan Islam membuka ruang kepada kaum bukan Islam untuk menyebarkan dakyah tertentu.

“Adalah sedia dimaklumi bahawa penganut agama lain tidak boleh menyebarkan pegangan mereka kepada umat Islam namun, apabila seorang muslim secara sengaja menghadirkan diri ke kuil atas alasan untuk berbuka puasa dengan orang bukan Islam maka tindakan ini telah membuka ruang kepada golongan bukan Islam untuk mendakyahkan agama mereka kepada orang Islam.

“Perbuatan ini menjadi lebih serius implikasinya apabila pemimpin politik beragama Islam sendiri menghadirkan diri di kuil dan menggunakan platform majlis ibadah berbuka puasa atau dirujuk sebagai Iftar di bawah bumbung Gurdwara Sikh yang sekali gus akan menjadikan perbuatan pemimpin ini satu teladan dan ikutan, sedangkan perbuatan ini telah mewujudkan rasa tidak selesa umat Islam yang lain,” titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi baginda semalam. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.