UMNO P. Pinang Lakukan Anjakan Paradigma Demi Agama, Bangsa Dan Negara – Norliza

GEORGE TOWN, 1 Jun – Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata UMNO negeri telah melakukan anjakan paradigma dengan mengutarakan pelbagai pandangan, penambahbaikan prestasi UMNO serta percambahan idea dari akar umbi menerusi persidangan peringkat Cawangan yang berakhir bulan lalu.

Katanya, secara keseluruhannya UMNO Pulau Pinang telah berjaya melaksanakan mesyuarat cawangan kira-kira 609 daripada 650 Cawangan UMNO di seluruh negeri, yang bermakna 94 peratus cawangan sudah melaksanakan tanggungjawabnya terhadap parti.

“Suatu anjakan paradigma yang membanggakan, memberi pandangan, menambahbaik prestasi UMNO dan sudah mula menerima hakikat bahawa UMNO adalah pembangkang yang perlu bekerja keras untuk mendapatkan kembali Putrajaya.

“Ada cawangan yang sempat kami pantau dan lawati serta melihat sendiri ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi malah ada yang sudah mula memberi ucapan penangguhan dan mengutarakan cadangan-cadangan demi kebaikan parti UMNO sendiri,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambahnya, kehadiran golongan muda agak berbeza mengikut kawasan Parlimen kerana jika di kawasan bandar orang muda sudah mula hadir dan ingin tahu situasi perkembangan politik terkini selain usaha untuk menarik golongan terbabit terus dilipat gandakan.

“Peranan golongan muda ini sangat penting untuk memastikan cawangan di setiap Parlimen harus mendapat sokongan dan tarikan. Sebagai contoh… sayap Puteri harus dipertingkatkan dan Wanita harus membantu Puteri untuk memastikan jumlah ahli semakin bertambah,” ujar Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia itu lagi.

Jelasnya, banyak usaha yang akan dilakukan untuk menarik golongan muda kerana sekiranya pengundian dibuat pada usia 18 tahun maka peranan Pemuda dan Puteri sangat-sangat penting.

“Jadi kita kena mantapkan kumpulan ini supaya undi orang muda tidak lari dan akan bersama-sama dengan UMNO.

“UMNO Pulau Pinang akan kerap membuat perjumpaan kerana senario politik agak berbeza pada setiap negeri. Untuk Pulau Pinang Insya-Allah… kita telah membuat persiapan dan perancangan agar golongan muda ini terus dijaga agar ia terus kekal bersama parti UMNO,” katanya.

Tarikh mesyuarat UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung daripada 15 Februari hingga 30 Mei lalu dengan tempoh yang panjang bagi memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus mesyuarat-mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Majlis Tertinggi UMNO telah menetapkan mesyuarat UMNO Bahagian berlangsung daripada 15 Jun sehingga 15 Ogos 2019 manakala Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan pada 13 – 16 Nov depan dengan satu hari akan diperuntukkan bagi Perhimpunan Agung UMNO Khas (EGM). – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.