Isu Lynas : PH Didesak Mohon Maaf Kerana Tabur Fitnah

KUANTAN, 1 Jun – Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah mendesak Pakatan Harapan (PH) khususnya ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh untuk meminta maaf kepada rakyat kerana telah menipu berkaitan isu Lynas.

Ujar beliau, tindakan kerajaan PH memperbaharui lesen Lynas Corp. membuktikan bahawa selama ini mereka memang sengaja menipu dan mengelirukan rakyat sekaligus memfitnah kerajaan terdahulu yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN).

“Dulu kecoh kononnya Lynas ini bahaya dan tidak selamat. Bermacam-macam tuduhan mereka lemparkan tetapi setelah jadi kerajaan secara tiba-tiba nada berubah. Lynas tidak lagi bahaya dan boleh diteruskan.

“Ini membuktikan bahawa selama ini BN tidak pernah menipu rakyat tetapi rakyat dikelirukan oleh fitnah pembangkang. Justeru saya mendesak PH khususnya Ahli Parlimen Bentong dan Kuantan untuk memohon maaf secara terbuka kepada rakyat,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, isu Lynas ini bukan isu kecil kerana ia bukan hanya melibatkan masyarakat di Kuantan tetapi Malaysia dan dunia.

“Kuantan adalah bandar tumpuan pelancong, dulu mereka menggambarkan seolah-olah Kuantan ini tidak selamat kini tiba-tiba Kuantan sudah selamat. Jadi, akuilah bahawa bila sudah jadi kerajaan baru mereka sedar bahawa apa yang BN buat adalah benar.

“Mereka harus ceritakan cerita sebenar apa yang Lynas hasilkan, mereka harus ceritanya juga bahawa sisa-sisa Lynas ditukar kepada bahan yang menguntungkan dan Lynas telah melabur jutaan ringgit untuk menukar sisa buangan kepada baja,” tegas beliau.

Selain itu, Shahar juga menuntut agar satu kertas makluman disediakan dan diedarkan kepada semua ahli parlimen ketika sesi Parlimen disambung Julai nanti. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.