WCE Komitmen BN, Jangan Sesiapa Tuntut ‘Kredit’

BAGAN DATUK 31 Mei – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap tiada pihak yang menuntut ‘kredit’ daripada pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang akan dibuka hari ini.

Menurut beliau, projek berkenaan merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan semata-mata demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, WCE dilaksanakan atas permintaan daripada orang ramai khususnya masyarakat setempat dan ahli-ahli profesional telah menentukan bajet dan kos projek berkenaan.

“Pembukaan WCE harus disyukuri oleh rakyat tetapi kita harap tidak ada sesiapa yang mahu menuntut kreditnya bahawa merekalah yang memulakannya dan merasmikannya.

“Sebaliknya kita hendaklah bersama-sama berlapang dada dan terbuka hati untuk menerima hakikat bahawa kepentingan rakyat harus diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Sambutan Badar Al-Kubra anjuran PAS kawasan Bagan Datuk, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua PAS kawasan, Misbahul Munir Masduki dan ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan ADUN Hutan Melintang, Datuk Khairudin Tamizi.

Jajaran di Seksyen 8 WCE dari Persimpangan Hutan Melintang ke Persimpangan Teluk Intan sepanjang 19 kilometer dibuka secara rasmi esok.

Menurut Ahmad Zahid, WCE adalah contoh pembangunan oleh kerajaan terdahulu yang dilaksanakan berdasarkan keperluan rakyat.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, WCE tidak wajar dilihat dari aspek politik kerana projek itu telah dikaji secara profesional sama ada di Kementerian Kerja Raya atau Kementerian Luar Bandar atau kementerian-kementerian yang berkenaan.

“Namun tragedi 9 Mei 2018 telah menyebabkan projek yang sedemikian sama ada diberhentikan, dikaji semula atau diteruskan.

“Projek seperti ini (WCE) harus dilakukan tanpa mengira kerajaan mana yang mengambil alih dan siapa yang telah diberikan tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.