Utamakan Keadilan, Perkembangan Inkues Adib Timbulkan Pelbagai Tanggapan – Peguam

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Pengamal Undang-Undang tempatan, Adnan Seman melihat perkembangan mutakhir berhubung inkues kematian Allahyarham Mohd Adib Mohd Kassim menimbulkan pelbagai tanggapan dan pada masa yang sama ia juga cukup mengejutkan.

Ini kerana katanya di penghujung inkues, peguam Syazlin Mansor telah menarik diri dan apa yang dipersoalkan adalah kenapakah soal pelantikan beliau sebagai peguam KPKT serta Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak dibincangkan daripada awal.

“Perkembangan yang berlaku mengejutkan kita kerana kenapa pada saat penghujung inkues, peguam Syazlin telah membuat permohonan balik untuk memanggil Prof Dr Shahrom, tiba-tiba ada surat mengatakan beliau perlu menarik diri.

“Dan lebih mengejutkan apabila YB Zuraida, Menteri KPKT mengeluarkan kenyataan bahawa kementerian sebenarnya telahpun diwakili oleh Peguam Negara…jadi apabila telah diwakili oleh Peguam Negara tidak ada keperluan untuk diwakili oleh peguam private iaitu Syazlin Mansor?

“Ini menimbulkan satu perkara yang pelik… kenapa Syazlin dilantik daripada awal dan isu perlantikan Syazlin tidak dibincangkan dan tidak dikenalpasti daripada awal,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Katanya lagi semua pihak tertunggu-tunggu kes perjalanan Allahyarham Mohd Adib dan ianya menjadi perhatian dan tumpuan kepada masyarakat umum di negara ini.

“Isu ini pada saya sangat kritikal. Inkues adalah untuk mengetahui punca kematian dan apabila dua pakar memberikan pandangan yang berbeza, koroner perlu melihat dan meneliti keterangan pakar ini sebaik mungkin dan wajar Prof Dr Shahrom dipanggil balik.

“Jadi apabila Peguam Syazlin menarik diri, maka permohononan untuk memanggil balik Prof Dr Shahrom juga akan terbatal kerana peguam ini yang membuat permohonan,” ujarnya.

Tegas beliau sepatutnya Peguam Negara menyelesaikan daripada awal berhubung perlantikan peguam kepada KPKT dan Jabatan Bomba.

“Lebih malang lagi apabila pihak Jabatan Peguam Negara telah pun mengeluarkan afidavit dan sebelum inkues ini selesai serta sempurna dilaksanakan…. Bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh mengeluarkan satu afidavit mengatakan Allahyarham Mohd Adib tidak dipukul. Jadi bagi saya ini satu perkara yang sangat tidak wajar berlaku sebabnya inkues masih lagi berjalan,” katanya.

Katanya lagi pihak yang berkenaan perlu memberikan penjelasan dan paling penting tuntutan keadilan untuk arwah Mohd Adib mesti diutamakan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.