Laporan Malaysiakini Tidak Benar, Berniat Jahat Dan Fitnah – Khaled

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menuntut agar Malaysiakini menurunkan serta merta berita bertajuk ‘Mat Hasan Dalang Mahu Singkir Zahid, Najib’ kerana kandungannya tidak benar dan fitnah sama sekali.

Malaysiakini menerusi laporannya bertarikh 30 Mei 2019 yang memetik Straits Times kononnya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Khaled sedang melobi pindaan
Perlembagaan UMNO yang bertujuan bagi menyingkirkan Presiden parti, Datuk Seri Zahid Hamidi dan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tuntut agar laporan tersebut diturunkan serta merta. Ini adalah satu amalan yang sangat tidak beretika dan Malaysiakini tidak seharusnya menjadi dalang dalam menyemai kekeliruan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tegasnya, secara khususnya, laporan tersebut mendakwa bahawa niat tersebut dilakukan melalui cadangan pindaan Fasal 9.9 kepada Perlembagaan UMNO

“Berdasarkan keadaan ini, saya percaya bahawa laporan Malaysiakini tersebut bukan sahaja tidak benar, berunsur fitnah dan mengelirukan, tetapi sangat tidak bertanggungjawab malah berniat jahat.

“Tidak mustahil kini Malaysiakini seolah-olah cuba menjadi media yang tidak neutral dan dipandu oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan tersendiri.”

Beliau menegaskan bahawa:
a. Laporan sedemikian adalah tidak benar dan fitnah sama sekali. Ini kerana, tidak ada cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa tersebut.

b. Saya tidak pasti dari mana Malaysiakini mendapat maklumat sedemikian dan saya tuntut mereka membuat kenyataan dan penjelasan.

c. Malaysiakini sepatutnya menghubungi saya terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian. Ini adalah perkara paling mudah untuk dilakukan. Malangnya, berita dan laporan tersebut dikeluarkan tanpa mendapat makluman dan ulasan daripada saya yang dipetik dalam laporan tersebut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.