Inkues Arwah Adib, AG Gagal Jalankan Tugas – Shahril Sufian

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata penarikan diri peguam Syazlin Mansor daripada mewakili tiga pihak dalam prosiding inkues siasatan kematian Allahyarham Muhammad Adib iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib menimbulkan pelbagai persoalan.

Menurut beliau empat sebab yang dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas kenapa peguam Syazlin Mansor sepatutnya tidak menerima perlantikan kerajaan (dalam kes ini, mewakili KPKT dan JBPM) satu kenyataan yang amat janggal di saat ini sekaligus memberi gambaran betapa bercelaru Pejabat Peguam Negara dalam kendalian kes berkenaan.

“Sekiranya kedudukan peguam Syazlin Mansor yang mewakili tiga pihak berkepentingan iaitu KPKT, Bomba dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib mewujudkan konflik berkepentingan, sepatutnya Peguam Negara telah mengambil tindakan lebih awal selaku penasihat kepada kerajaan dalam hal ini.

“Kekalutan yang timbul ini juga hanya akan menyebabkan prosiding inkues yang sudah memasuki 36 hari ini terganggu memandangkan banyak keterangan saksi telah dikemukakan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tegas Shahril, rakyat Malaysia mahukan kes ini dirungkai sebaik mungkin serta kematian Allahyarham Muhammad Adib mendapat keadilan sewajarnya.

“Namun keputusan Peguam Negara yang hanya mengambil tindakan selepas 36 hari inkues dijalankan menunjukkan Peguam Negara telah gagal melaksanakan tugas sebaik mungkin bukan sahaja atas kapasitinya sebagai peguam dan penasihat undang-undang kepada pihak kerajaan malah mencemar kedudukan Pejabat Peguam Negara secara keseluruhannya,” ujarnya lagi.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.