Zuraida Perlu Beri Penjelasan, PH Perlu Pegang Konsep ‘Rule Of Law’

KUALA LUMPUR 29 Mei – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin didesak memberi penjelasan berhubung penarikan diri peguam Syazlin Mansor yang mewakili kementerian itu dalam prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, malah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya lupa dengan prinsip ‘rule of law’ yang sering diungkapkan sebelum ini sebagai teras asas pentadbiran.

Katanya, semua pihak perlu telus dan amanah kerana inkues bukanlah satu prosiding untuk menentukan kemenangan atau sebaliknya.

“Persoalannya, mengapa perkara ini dijadikan isu selepas 36 hari Syazlin mewakili kementerian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba dan bukannya dari awal.

“Tidakkah tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas ini hanya akan melanjutkan lagi tempoh prosiding inkues setelah 36 hari prosiding berlangsung dan berbaki dua hari lagi?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JPBM serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.