Pastikan Wujud Keadilan Dan Ketelusan Perbicaraan Mohd Adib – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Kerajaan mesti memastikan wujud keadilan dan ketelusan dalam perbicaraan kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terbunuh dalam rusuhan ketika menjalankan tugas di Kuil Sri Mariamman, Seafield, akhir tahun lepas.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata keadilan perlu dinampakkan (justice is served) kerana sebarang campur tangan mana mana pihak dalam prosiding, adalah bercanggah dengan prinsip Kedaulatan Undang-Undang negara. Ini sangat tidak baik kepada negara.

“Kita menyokong tindakan blok pembangkang yang menuntut supaya Perdana Menteri memecat Peguam Negara dan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ( RCI ).

“Perkara ini serius dan tepat kerana dilihat wujud elemen tidak percaya kepada prosiding inkues Muhammad Adib, disebabkan berlaku banyak tindakan campur tangan yang meragukan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Katanya lagi dalam usaha menjaga imej Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kedaulatan dan keluhuran undang undang, proses perbicaraan mestilah dilihat bersih dari campur tangan mana mana pihak.

Malah tegas beliau lagi keadaan itu penting demi ketelusan, selain menjaga intergriti pengamal undang-undang itu sendiri malahan rakyat Malaysia sedang teliti memerhatikan perjalanan butiran kes Muhammad Adib ini kerana ia melibatkan kematian seorang penjawat awam ketika bertugas.

“Dan apabila wujud percanggahan antara perakuan pihak polis dengan pejabat Peguam Negara, rakyat ingin tahu apakah yang sebenarnya berlaku.

“Sehubungan itu, sekali lagi ditegaskan, adalah tepat desakan dibuat supaya kes dikendalikan menerusi Suruhanjaya Siasatan DiRaja ( RCI ). Semua ini adalah demi keadilan dan ketelusan pengadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib serta menjaga keutuhan sistem perundangan dalam negara ini,” ujarnya. -MediaUMNO