Dap Elak Layan Dakwaan Najib Bimbang Terjerat Leher Sendiri, Lebih Gemar Auta Dari Fakta – Johan

SEMENYIH, 29 Mei – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, tindakan Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng mengingatkan kepimpinan parti itu agar jangan membuang masa melayan persoalan-persoalan yang dilemparkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya adalah satu helah melindungi kelemahan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang sering menggunakan auta daripada fakta.

Jelas beliau, sekiranya kepimpinan PH berada di landasan yang benar maka mereka tidak perlu takut untuk menjawab segala dakwaan yang dilemparkan oleh Najib.

“Sebenarnya mereka tidak tahu apa nak jawab… nanti jawab takut tersalah pula dan akhirnya terjerat diri sendiri. Jadi, langkah selamat adalah kelirukan rakyat kerana itulah kepakaran mereka.

“Kononnya sekiranya segala dakwaan Najib dilayan maka ia memberi peluang kepada Najib untuk mengalihkan perhatian dunia daripada perbicaraan kes rasuah dan kleptokrasi terbesar dalam sejarah tapi sebenarnya Dap ingin menutup salah laku sendiri.

“…contohnya isu terowong dasar laut yang diajukan oleh Najib, sehingga hari ini isu tersebut masih tidak dijawab dan fakta sebenar cuba disembunyikan. Kalau berani dan kalau memang tidak salah jawablah dengan fakta,” ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat kepada UMNO-Online.

Tambah Johan, sebagai seorang bekas Perdana Menteri, sudah pasti Najib mempunyai banyak fakta dan sekiranya beliau ada melihat sesuatu yang tidak betul dalam pentadbiran negara, sudah pasti pelbagai persoalan dilemparkan dan persoalan tersebut disertakan fakta maka PH juga seharusnya menerangkan dalam bentuk fakta juga.

“Kita lihat, sejak Barisan Nasional (BN) tewas, Najib sering memberikan kritikan berdasarkan fakta dan ia boleh dinilai secara jelas oleh rakyat. Inilah yang dibimbangi oleh PH khususnya Dap. Mereka risau pekung mereka akan terbongkar.

“Kalau benar apa yang dikatakan oleh Najib tidak betul maka ambillah tindakan saman dan tidak perlu ulang skrip lama kononnya tidak mahu melayan pencuri dan perompak,” bidas beliau.

Untuk rekod, Guan Eng mengeluarkan kenyataan tersebut susulan tindakan Najib memuat naik klip video di Facebook yang disertakan keterangan: “Terowong Lim Guan Eng? Yilek (tak ada). Sama macam janji manis PH. Kosong”.

Dalam klip video itu, Najib berdiri di tepi laut, dipercayai di Pulau Pinang, ketika kunjungannya ke negeri itu Ahad lalu.

Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, pemimpin BN mempersoalkan ketelusan projek terowong dasar laut berkenaan yang telah menelan belanja berjuta ringgit namun sehingga hari ini projek tersebut terus sunyi walaupun duit rakyat telah banyak dibazirkan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.