Bil Elektrik Naik : “Akan Siasat Dan Akan Kaji…” Itu Skrip Biasa Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Skrip biasa bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah akan siasat atau kaji, bidas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata pelbagai pihak mengadu mengenai kenaikan mendadak bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun kerajaan setakat ini hanya buat sidang media sahaja dan meminta Suruhanjaya Tenaga menyiasat.

“Kenaikan bil elektrik TNB secara mendadak mulai membebankan rakyat ketika kelembapan ekonomi melanda negara.

“Yang rugi rakyat kerana berdasarkan undang-undang, pengguna tetap perlu menjelaskan bil elektrik dalam tempoh sebulan dan jika ada lebihan, mereka yang layak akan mendapat pembayaran balik,” tegasnya.

Ahmad Zahid turut mempertikai alasan TNB iaitu disebabkan ubah suai meter.

“Adakah 86 ribu individu yang sokong petisyen ini ubah suai meter mereka?,” soal Ahmad Zahid sambil melampirkan pautan petisyen https://www.change.org/p/kerajaan-pantau-harga-elektrik-2019-bantahan-kenaikan-elektrik-2019-mengikut-kiraan-tnb.

Ketika berita ini disiarkan, terdapat lebih 90 ribu petisyen telah ditandatangani oleh rakyat.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyeru kepada TNB agar kembalilah kepada asas penubuhan iaitu memberi khidmat kepada rakyat dan bukannya memerah keringat rakyat.

“Saya juga mengalu-alukan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mengambil langkah proaktif untuk menangani permasalahan ini,” katanya yang turut mengalu-alukan warga maya berkongsi gambar bil terbaru utiliti tersebut di dalam ruangan komen di laman sosialnya itu. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.