Pemuda UMNO Kecam Pemimpin PH, Tak Peka Sensitiviti Umat Islam

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah mengecam tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam dengan mengadakan Majlis Iftar Muhibbah di Gurdwara Sahib, Johor Bahru, Johor.

Hairi menjelaskan, sepatutnya Akmal Nasrullah boleh menjemput masyarakat berbilang kaum dan agama untuk iftar bersama, namun mengajak umat Islam iftar di rumah ibadah agama lain adalah amat-amat tidak kena.

“Pemuda UMNO memahami hasrat Akmal untuk memupuk perpaduan antara masyarakat berbilang kaum, namun tidak kena dengan caranya. Kita sebagai bangsa Johor tidak lari dari bersikap toleransi dengan kemajmukan masyarakat Malaysia yang pelbagai.

“Dalam Islam bulan Ramadan ini dianggap sebagai bulan suci, bulan Allah SWT, apatah lagi ketika umat Islam berada pada 10 Ramadan terakhir. Apakah wajar pada bulan yang mulia ini umat Islam dibawa dan berbuka puasa di kuil Gurdwara Sahib?” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya, 10 Ramadan terakhir amat penting bagi umat Islam meluangkan masa dengan memberi tumpuan kepada ibadat dan bersyukur kepada pencipta untuk mendapat keredhaan-Nya.

“Sebenarnya banyak lagi tempat yang boleh diadakan majlis sebegini seperti di masjid, surau, rumah anak-anak yatim, rumah orang tua atau di pusat khidmat beliau sendiri.

“Usaha memperkukuhkan dan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama serta kepercayaan tidak wajar direalisasikan dengan perkara seperti ini.

“Saya berharap agar YB Akmal lebih cakna dan senstitif terhadap toleransi budaya dan agama sehingga tidak menjejaskan akidah sebagai seorang Muslim,” tegasnya lagi.

Dilaporkan, tular di media sosial Akmal Nasrullah bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang dikatakan dalam Majlis Iftar Muhibbah di Gurdwara Sahib. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.