Khaled Sambut Baik Respon Menteri Pendidikan, Sedia Jumpa Untuk Bincang Isu Matrikulasi

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyambut baik dan bersedia berjumpa dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk berbincang isu Kolej Matrikulasi atau mana-mana isu pendidikan.

Katanya, beliau mengambil maklum tentang respon Menteri Pendidikan terhadap pandangan dan kegusaran beliau mengenai isu Kolej Matrikulasi ini.

“Malah Menteri Pendidikan juga menzahirkan kesediaan beliau untuk bertemu dan berbincang dengan saya mengenai isu-isu berkaitan pendidikan negara.

“Saya menyambut baik dan bersedia berjumpa beliau untuk berbincang isu Kolej Matrikulasi atau mana-mana isu pendidikan sekiranya Menteri Pendidikan rasa wajar dan berkeperluan untuk dapatkan penjelasan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Khaled telah melahirkan rasa kecewa dengan keterujaan Dr Maszlee yang menyambut gesaan Pemuda Dap berhubung isu matrikulasi.

Dilaporkan, Ketua Pemuda Dap, Howard Lee mencadangkan Kementerian Pendidikan menyelesaikan ketidaksamarataan yang besar dalam status quo di bawah sistem penapisan untuk peperiksaan matrikulasi, bagi memastikan peluang yang lebih adil untuk pelajar STPM dan matrikulasi.

Ia juga menggesa kajian semula sistem penggredan kokurikulum dan mempertimbangkan penyerapan tempat sebanyak 15,000 di asasi sebagai sebahagian daripada program matrikulasi selain gesaan kepada kementerian untuk membuka peluang kemasukan tambahan bagi 2,000 pelajar teratas mengikut markah CGPA tanpa kira kaum serta mewujudkan silibus dan sistem pengredan di antara STPM dan Matrikulasi menjelang 2020. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.