Kit Siang Pengecut, Tidak Berani Berhadapan Dengan Kebenaran – Najib

KANGAR 26 Mei – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menarik diri daripada berdebat dengan beliau sebagai pengecut serta tidak berani berhadapan dengan kebenaran.

Beliau berkata, Kit Siang yang menentukan tajuk perdebatan, namun akhirnya tidak berani meneruskannya dengan memberi alasan boleh mencetuskan pertembungan kaum yang sama sekali dilihat tidak masuk akal.

Katanya, pemimpin DAP itu menyerang dan menuduhnya sebagai pencuri, perompak dan pelbagai lagi fitnah lain namun apabila beliau sedia untuk berdebat, Kit Siang ‘lari’.

“Disebabkan pelbagai fitnah yang dilontarkan itu saya berani tampil untuk berdebat bagi menegakkan kebenaran. Tetapi Kit Siang tidak berani, pengecut dan lari daripada berdebat meskipun dia (Kit Siang) yang tentukan tajuk,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Kompleks Pas negeri di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli; Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim serta barisan kepemimpinan UMNO dan Pas Perlis.

Sebelum ini, Kit Siang mengumumkan menarik diri daripada berdebat dengan Najib atas alasan bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan pada Selasa lalu menyahut cabaran Kit Siang dan mencadangkan supaya program debat itu diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan disiarkan secara langsung.

Namun jelas Kit Siang, dalam tempoh 48 jam selepas kedua-dua mereka bersetuju untuk berdebat, beliau menerima pelbagai nasihat supaya tidak meneruskannya.

Kit Siang bagaimanapun cuba mempertahankan diri bahawa tindakan yang diambil beliau itu adalah demi kepentingan negara.

Sementara itu, Najib ketika berucap turut menyifatkan UMNO dan Pas kini menjadi pilihan rakyat termasuk golongan muda selepas mereka kecewa ditipu oleh Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan pelbagai janji manisfesto.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru agar hubungan UMNO dan Pas terus diperkukuhkan seterusnya kembali merampas Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.