PH Menindas, Kegagalan Beri Duit Raya Satu Pengkhianatan Kepada Peneroka

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberikan bonus ataupun duit raya ibarat menindas dan mengkhianati harapan peneroka FELDA, tegas Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Katanya, beliau amat terkejut dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mengenai status pemberian duit raya buat 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara.

“Kerajaan PH yang kononnya mengutamakan rakyat hanya sekadar memberi harapan. Alasan yang diberi iaitu untuk mengawal kewangan negara selain dibebani dengan hutang hanyalah sekadar alasan. Kegagalan kerajaan memberikan bonus ataupun duit raya ibarat menindas dan mengkhianati harapan peneroka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bidasnya, kerajaan seharusnya mengutamakan nasib peneroka FELDA terutamanya bagi mereka yang ingin menyambut Aidilfitri kurang lagi dua minggu.

“Jika di zaman Barisan Nasional (BN), duit raya untuk peneroka pada 2017 adalah sebanyak RM780. Jumlahnya jauh lebih banyak daripada pemberian pakatan tahun lepas iaitu hanya RM450 pada tahun lalu.

“Malah pada 2016, BN juga telah memperuntukan RM500 duit raya setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM49.52 juta bagi lebih 90,000 peneroka. Sememang kerajaan BN yang dituduh merompak dan tidak bersih itulah yang lebih mengutamakan rakyat.

“Menteri Felda, seharusnya lebih peka dengan nasib warga Felda yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh sewaktu pentadbiran BN. Sudahlah janji hutang mahu dihapuskan belum ditepati, duit raya pun tidak diumumkan.”

Katanya, kegagalan mengumumkan duit raya buat peneroka bukan saja meresahkan mereka tetapi memberi kesan kepada persepsi masyarakat. Duit raya ibarat simbolik buat negara kerana ia memperlihatkan Kewangan yang kukuh dalam negara yang stabil.

“Kerajaan bukan baru memerintah tiga bulan tetapi telah setahun. Alasan kononnya hanya mewarisi hutang-hutang yang ditinggalkan BN tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan lupa, di waktu rakyat sedang ‘mood’ bersabar di bulan mulia ini, pemimpin Pakatan seharusnya mengambil peluang menunaikan janji-janji mereka yang tertunggak,” katanya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.