Harga Barang Makin Naik: Tolonglah Kerajaan… Tak Kesian Ke Kepada Kami – Suara Rakyat

 

PASIR SALAK, 24 Mei – Semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, pelbagai janji manis ditaburkan oleh Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat sehinggakan akhirnya rakyat terpengaruh. Dek akibat janji tersebut, Barisan Nasional (BN) yang selama ini mentadbir negara dengan baik, kecundang…. pucuk pimpinan negara diambil alih oleh PH.

Antara janji yang kerap dimainkan oleh PH adalah berkaitan kos sara hidup dan harga barang. PH menuduh tindakan kerajaan BN melaksanakan GST menyebabkan harga barang naik dan kos hidup tinggi. Kini pentadbiran PH telah berusia setahun. Adakah harga barang semakin turun dan kos sara hidup semakin baik?

Hasil tinjauan yang dilakukan oleh UMNO-Online, rata-rata rakyat mengeluh berkaitan harga barang yang semakin naik dan membebankan.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Wan Norashikin Wan Nordin, agenda rakyat bukanlah menjadi kepentingan kepimpinan kerajaan baru dan kerana itulah denyut nadi rakyat tidak diendahkan.

“Jika dulu mereka menuduh BN itu ‘Barang Naik’ tetapi kini kita sendiri dapat lihat harga barang semakin melambung tinggi. Janji PH untuk menurunkan harga barang hanya tinggal janji.

“Kononnya selepas hapus GST harga barang akan turun tapi kenyataannya baik harga barang basah atau kering semuanya naik,” ujar beliau.

Maizurah Abdul Malik, 59, turut melahirkan rasa terkilan terhadap harga barang yang semakin tinggi apatah lagi di musim perayaan ini.

“Makin lama makin naik, membebankan rakyat… tahun ini terasa susah sangat apatah lagi di musim perayaan. Mana janji mereka untuk turunkan harga barang. Saya percaya pilihan raya akan datang kerajaan pasti bertukar,” luahnya.

Bagi Ismail Sudin, 52, pula kesal dengan janji pilihan raya PH yang ternyata janji tinggal janji.

“Semuanya tipu, harga barang semua naik, dulu harga kuih RM2 boleh dapat lima sekarang dapat empat, pergi pasar pun harga semua naik, nak kata turun memang membohonglah,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk setempat yang ditemui Mustafa Mohd Yunus, 58, melahirkan nada yang sama.

“Sejak PH memerintah saya dapati harga barang semakin naik. Bila musim raya lagi naik. Tak tau mana silapnya. Saya tengok kerajaan pun tidak ambil tindakan untuk selesaikan masalah ini. Saya harap sangat kepada kerajaan… mana janji pilihan raya dulu… tak kesian ke kepada rakyat,” luahnya sayu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.