Alasan Tarik Diri Lemah Dan Lembik, Ini Sebab Sebenar Kit Siang Enggan Debat Dengan Najib

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Alasan Lim Kit Siang yang tiba-tiba menarik diri dari berdebat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia akan menjadi isu kaum dan agama yang melampau adalah sesuatu alasan yang amat lemah dan lembik, kata Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil.

Katanya, debat ini khusus untuk membincangkan isu rasuah dan integriti, bukan isu kaum dan agama.

“Sekiranya ahli panel sengaja lari tajuk dengan niat mensensasi atau retorik kaum dan agama, moderator dan rakyat akan cepat menghidunya dan taktik itu tidak akan menjadi.

“Sebab itu alasan Lim Kit Siang tersebut tidak boleh dipakai dan tidak diterima akal dan Datuk Seri Najib adalah seorang yang moderate, beliau tidak pernah pun membawa isu-isu kaum dan agama yang melampau selama ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Katanya, beliau menyokong perdebatan politik kerana setiap pemimpin politik perlu bijak berbahas dan berdebat untuk membawa dan mempertahankan kepentingan rakyat dan untuk rakyat menilai kemampuan pemimpin-pemimpin mereka.

“Debat secara bersemuka juga adalah lebih bertamadun daripada kempen politik secara tikam belakang.

“Debat dan bahas juga melatih pemimpin untuk mengemukakan hujah dan mematahkan hujah di atas kaki sendiri di semua peringkat, sama ada di Parlimen atau di peringkat antarabangsa di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.

“Jika pemimpin-pemimpin kita tidak tahu atau takut berbahas, bagaimana mereka ingin menegakkan kepentingan kita dan melawan dakyah terhadap kita?”

Pada hemat Isham sebab sebenar Lim Kit Siang lari dari debat ini ialah kerana:

1. Beliau takut untuk mendengar fakta sebenar dan kebenaran dari Dato’ Sri Najib sendiri secara berhadapan dan beliau hanya mahu “main kutuk belakang” seperti seorang pengecut.

2. Beliau tidak ada cukup hujah, bukti dan fakta berkenaan tuduhan-tuduhan dan fitnah-fitnah beliau selama ini kepada Dato’ Seri Najib lantas takut untuk mengemukakannya secara langsung dan berhadapan kerana takut hujah-hujah beliau senang dipatahkan.

3. Beliau takut ditanya berkenaan skandal kehilangan RM44 billion dalam urusniaga matawang asing yang melibatkan kleptokrat terbesar negara Tun Dr Mahathir yang mana Lim Kit Siang sendiri telah menulis buku berkenaannya.

4. Beliau takut ditanya berkenaan skandal rasuah bungalow bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang melibatkan seorang lagi kleptokrat iaitu anaknya sendiri Lim Guan Eng.

5. Beliau takut ditanya berkenaan skandal beratus juta terowong Pulau Pinang yang juga melibatkan kleptokrat anaknya sendiri Lim Guan Eng.

6. Beliau takut ditanya berkenaan skandal-skandal rasuah pemimpin-pemimpin PH yang dilepaskan begitu sahaja oleh Kerajaan.

7. Beliau takut kalah oleh sebab-sebab di atas lantas memalukan diri sendiri di hadapan penyokong-penyokongnya sendiri dan rakyat.

8. Beliau memang penakut dan pengecut.

Dilaporkan, terdahulu Kit Siang mencabar Najib berdebat atas tajuk ‘Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti’ yang kemudian disahut bekas Presiden UMNO itu. Namun begitu, Kit Siang mengumumkan penarikan diri semalam menerusi blog rasminya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.