UMNO Dan PAS Bentuk Kerjasama Rasmi Selepas Aidilfitri

KOTA BHARU, 23 Mei – UMNO dan PAS akan memeterai satu piagam bersama selepas Aidilfitri ini bagi membentuk kerjasama rasmi kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata pembentukan piagam itu kini di peringkat akhir penelitian oleh jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan oleh kedua-dua parti sebelum ini.

“Sekarang taawun (kerjasama), kita kena secara berperingkat-peringkat. Mula-mula kerjasama tak bertulis, kemudian datang tiga empat pilihan raya kecil kita nampak kerjasama ini kian baik. Jadi sekarang pimpinan tertinggi UMNO dan PAS merasakan elok dibuat secara lebih rasmi.

“Dengan adanya kerangka taawun secara bertulis ini ia (kerjasama) akan jadi lebih teratur, bukan hanya di peringkat nasional tetapi juga di peringkat negeri dan bahagian,” katanya kepada pemberita selepas program Pemuda dan Puteri Cakna Asnaf peringkat Parlimen Ketereh di sini, hari ini.

Program berkenaan memberi peluang kepada 122 kanak-kanak miskin memilih sendiri pakaian untuk persediaan Aidilfitri nanti dan turut mendapat kerjasama daripada Pasaraya Mydin, Ekspres Perdana dan Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK).

Annuar berkata berkata draf piagam bersama itu kini sudah dikemukakan kepada pimpinan tertinggi parti masing-masing untuk tindakan selanjutnya.

“Pada peringkat seterusnya kerjasama dengan pihak-pihak lain juga juga akan diperkukuhkan termasuklah melibatkan parti politik lain dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.