Matrikulasi: Kerajaan PH Perlu Tegas Dan Tidak Berkompromi Dengan Desakan Mana-mana Pihak

KUALA LUMPUR, 23 Mei – UMNO Bahagian Shah Alam menyeru agar kerajaan pusat tegas dan tidak berkompromi berhubung kontroversi yang timbul sejak akhir-akhir ini berhubung pengambilan pelajar Matrikulasi.

Ketuanya, Datuk Azhari Datuk Shaari berkata sebagai tonggak Barisan Nasional (BN), UMNO istiqamah dalam memastikan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta semua kaum dilaksanakan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial antara kaum sejak merdeka lagi.

Namun begitu, katanya hari ini negara dikejutkan dengan pelbagai tuntutan dan pelaksanaan dasar oleh pihak tertentu yang telah jelas melanggari peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial itu sendiri.

“Isu pengambilan pelajar Matrikulasi yang sedang panas hari ini dengan tuntutan yang tidak dapat dipenuhi oleh Kementerian Pendidikan jelas mencabar kaum Bumiputera di negara ini. Kita sebagai rakyat Malaysia dalam kalangan Bumiputera perlu mempertahankan agenda pendidikan untuk bangsa kita.

“Difahamkan terdapat undian di media sosial yang dibuat oleh pihak tertentu untuk menyingkirkan Menteri Pendidikan demi perjuangan kelompok tertentu yang jelas tindakan yang tidak dapat diterima. Ini sudah melampau dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Sehubungan itu katanya, UMNO Bahagian Shah Alam menyeru kepada pihak Kerajaan Persekutuan untuk tegas dalam memastikan pengambilan pelajar Matrikulasi diambil selaras semangat Perlembagaan Persekutuan mencakupi agenda melindungi hak Bumiputera.

Dalam perkembangan lain, Azhari turut mengharapkan agar kerajaan membuat pemeriksaan serta pemantauan terhadap harga barang terutama menjelangnya Aidilfiti nanti.

“Baru-baru ini Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan bonus untuk kakitangan awam begitu juga Kerajaan Negeri Selangor. Apa yang kita gusarkan jika bonus ini menyebabkan ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang keperluan.

“Sebaiknya Kerajaan Persekutuan melalui agensi terlibat membuat pemeriksaan rapi kenaikan harga barang mentah seperti ikan dan sayur-sayuran. Kawalan harga penting bagi memastikan tidak ada pihak yang menangguk di air keruh.”

Tambahnya, beliau tidak begitu bimbang kepada penjawat awam yang mendapat bonus, tetapi risaukan nasib rakyat marhaen yang terpaksa menerima kesan domino kenaikan harga barang angkara peniaga lintah darat.

“Tidak lama lagi Syawal akan menjelang tiba… pada waktu sebegini kita di UMNO Bahagian Shah Alam kebiasaannya akan menyampaikan hadiah sepasang baju raya kepada penerima bantuan dalam kalangan asnaf.

“Namun setahun dua ini tradisi ini seakan terhenti setelah BN tidak lagi menjadi Kerajaan Persekutuan. Keadaan ini tidak mematahkan semangat kami di UMNO Bahagian Shah Alam untuk terus memperjuangkan nasib rakyat mengikut saluran demokrasi yang ditetapkan sama ada di Parlimen, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di media arus perdana serta media sosial,” ujarnya lagi.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.