Buat Kereta Terbang Ada Duit, Bantuan Raya FELDA Tak Ada Duit Pula…

SEKIJANG, 23 Mei – Naib Ketua UMNO Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu untuk mengeluarkan belanja besar bagi projek kereta terbang dan kereta nasional, seharusnya kerajaan juga mampu untuk memberi sedikit bantuan raya buat warga FELDA bagi meringankan beban mereka.

Jelas beliau, walau apapun alasan kerajaan, keutamaan kebajikan kepada peneroka sepatutnya boleh diberikan keutamaan apatah lagi dalam keadaan harga komoditi yang agak rendah sekarang ini.

“Alasan kononnya tidak dapat beri bantuan raya sebab mahu pulihkan FELDA dulu sebenarnya adalah satu alasan yang tidak logik.

“Kerajaan sudah ambil duit Petronas RM82 bilion dan kerajaan sudah jual berpuluh bilion aset negara (yang dikira sebagai pelaburan asing oleh Menteri Kewangan), jadi mana mungkin tidak ada duit.

“Jika tidak ada duit, mengapa kerajaan mampu untuk buat kereta nasional ke-3, untuk buat kereta terbang dan beli 50 ‘training fighter jets’ bernilai RM36 bilion? Jadi takkan kerajaan tidak ada RM51 juta untuk memberi sedikit bantuan raya kepada keluarga peneroka FELDA pada ketika bayaran bantuan sara hidup bulanan mereka sudah lambat dan harga sawit masih rendah?” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Annuar, sepatutnya FELDA melalui menterinya boleh bertindak awal dengan memohon melalui kementerian kewangan peruntukan untuk Aidilfitri ini selain daripada wang pendahuluan hasil dan sara hidup yang sememangnya perlu dibayar awal kepada para peneroka.

“Sudahlah berjanji nak hapus hutang dan penurunan harga barang selepas mansuh cukai GST hanya tinggal janji. Tidak ada salahnya kerajaan memberi sedikit insentif kepada mereka yang terlibat dengan komoditi sawit dan getah ini. Bertanggungjawab sikitlah…

“Kalau sudah tahu tidak boleh nak tunai janji dan beri insentif, janganlah main isu lain pasal GSA, tanah tidak boleh tukar milik dan mcm-macam lagi konon nak alih isu kejatuhan harga sawit dan insentif raya ini,” bidas beliau lagi.

Hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan setakat ini tidak ada duit raya kepada 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara berikutan kedudukan semasa kewangan negara yang kurang memberangsangkan.

Untuk rekod, semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2017, warga FELDA telah menerima bonus raya sebanyak RM780 tetapi selepas tampuk kerajaan bertukar pada tahun 2018, jumlah tersebut dikurangkan kepada RM450 dan pada tahun ini tiada peruntukan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.