Zahid Dan ‘Bossku’ Iftar Jamaie Bersama Rakyat Melaka

TANGGA BATU, 21 Mei – Majlis berbuka puasa ‘Iftar Jamaie’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama pelajar tahfiz dan rakyat malam ini berlangsung dengan penuh bermakna bagi masyarakat setempat.

Kehadiran kedua-dua pemimpin parti pada jam 7 petang itu dilihat amat dinanti-nantikan oleh ribuan rakyat di mana hadirin berpeluang untuk beramah-mesra dan berswafoto.

Bertempat di Baitul Tariq, Klebang, di sini, tanpa rasa kekok kedua-dua pemimpin parti itu serta rakyat berbuka puasa dengan menikmati juadah yang disediakan di dalam talam.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang juga selaku tuan rumah dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek.

Seusai majlis berbuka puasa, hadirin dan muslimat yang hadir menunaikan solat maghrib berjemaah, diikuti zikir perdana di langit terbuka, majlis penyerahan naskah Al-Quran, solat Isyak dan terawih juga secara berjemaah.

Dalam majlis yang sama, Ahmad Zahid turut menyumbangkan naskah-naskah Al-Quran kepada sekolah-sekolah tahfiz.

Sekolah tahfiz tersebut antaranya seperti Madrasah Assolihin, Madrasah Teluk Mas, Madrasah Haji Husin, Madrasah Almuqtadin, Pusat Tahfiz Al-Quran Batu Berendam, Madrasah Baitul Qurra, Madrasah Kerubung, Madrasah Alfurqan, Madrasah Almuqarrabin dan Madrasah Baitul Nur.

Manakala majlis zikir perdana dipimpin oleh Tuan Guru Sheikh Abd Rahman.

Sebelum bersurai majlis diakhiri dengan jamuan moreh.

UMNO-Online turut membawakan siaran secara langsung majlis tersebut melalui platform Facebook rasminya.

Petang tadi, Najib yang kini popular dengan gelaran ‘Bossku’ telah berkunjung di Tesco Peringgit manakala pada jam 10.30 malam Najib dan Ahmad Zahid akan mengunjungi Bazar Ramadan, Taman Masjid Tanah Ria di Masjid Tanah.

Sebagaimana sambutan hangat rakyat di majlis Iftar Jamaie tadi, ribuan pengunjung dan peniaga juga teruja dengan kehadiran kedua-dua pemimpin UMNO itu ke bazar tersebut.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.