UMNO Dan PAS…Tohmahan Akan Terus Dijaja, Namun Kita Akan Terus Istiqamah – Azhari

KUALA LUMPUR, 20 April – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan pelbagai fitnah akan dijaja oleh mereka yang ingin melihat kerjasama antara UMNO dan PAS menemui jalan kegagalan dan tidak mustahil perkara tersebut dicanang dengan pelbagai tohmahan.

beliau penuh yakin dan percaya, komitmen dan azam untuk melihat kerjasama berkenaan membuahkan hasil dan akan berjalan sebaiknya dalam usaha memperkukuh dari semasa ke semasa apatah lagi ulang tahun UMNO ke-73 baru-baru ini menyerlahkan senario sebenarnya.

“Satu lagi sejarah tercipta di sini apabila UMNO Bahagian Shah Alam dan PAS Kawasan Shah Alam sama-sama mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini. Pertemuan dan perkongsian ilmu oleh Ustaz Dasuki Abdul Rani membuktikan Islam adalah agama perpaduan.

“Beberapa tahun yang lalu UMNO dan PAS sama-sama memperjuangkan Rang Undang-Undang 355 sehingga mendapat tentangan pihak pembangkang dan penyokong mereka. Hikmahnya, perjuangan tersebut berjaya membuktikan bahawa siapa yang benar mahukan Islam dan siapa yang menjadikan Islam sebagai alat mereka selama ini. Bagi UMNO, Islam ada di dalam DNA perjuangan kita selama hampir 73 tahun sejak penubuhannya di Istana Besar Johor pada 11 Mei 1946,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Katanya, tanpa mengenepikan hubungan bersama rakan-rakan lain sebelum ini, beliau penuh percaya hubungan UMNO dan PAS akan terus diperkasakan dengan adanya aktiviti bukan politik seperti pertemuan antara kedua-dua pihak.

“Kita perlu buktikan kita bersatu bukan kerana duniawi semata-mata. Agama Islam dan agenda Bumiputera perlu diteruskan. Jangan menoleh ke belakang lagi, gandingan UMNO dan PAS sekarang dihujani fitnah itulah cabaran kita. Teruskan agenda untuk Bumiputera dan Islam,” ujarnya.

Ujarnya lagi, kerjasama UMNO dan PAS serta rakan-rakan lain telah terbukti dalam tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu Parlimen Cameron Highland, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Rantau.

“Kita akan terus bersama memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair walaupun pelbagai kritikan dari kawan dan lawan. Satu lagi, kita akan terus memperkasa agenda mendaftarkan pengundi Melayu muda dan yang belum berdaftar untuk menjadi pengundi rasmi perlu berbuat demikian.

“Tanpa pengundi berjuang siang dan malam tidak ada gunanya. Sehubungan itu setiap ahli UMNO terutama akar umbi perlulah meneruskan usaha menambahkan pengundi putih,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.