Pemuda UMNO Dan Dewan Pemuda Pas Kedah Terus Perkasakan Hubungan

ALOR SETAR, 20 Mei – Pemuda UMNO Kedah dan Dewan Pemuda PAS negeri ini secara rasmi mengadakan perjumpaan bersama kali pertama melalui kunjungan mahabbah   antara kedua-dua sayap parti di Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO di Alor Setar.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli, berkata  kunjungan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah itu dihadiri 15 Ahli Jawatankuasa  termasuk Ketua Pemudanya, Ustaz Nurul Amin Hamid.

Mohamad Fadzil Zolkipli berkata , perjumpaan ini diadakan susulan daripada usul yang telah diluluskan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah di Baling baru-baru ini iaitu supaya “ta’awun” antara Pemuda PAS dan UMNO diperkasakan.

“Dalam perjumpaan ini tiada agenda khusus dibincangkan dan semua diberikan ruang untuk melontarkan pandangan dan berkongsi pengalaman.

“Semua perbincangan yang berlangsung menjurus kepada persetujuan memperkasakan hubungan pemuda UMNO dan PAS Kedah dalam bentuk program yang merapatkan silaturahim. Nampaknya perkembangan yang berlaku sangat baik dan kita bersetuju akan mengadakan perjumpaan secara berkala,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Katanya lagi perbincanhan juga mencari persefahaman dan mengurangkan perbezaan antara pemuda UMNO-PAS bagi menghadapi tentangan Pakatan Harapan (PH) dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan agenda anak muda penentu kepada kemenangan pembangkang.

“Maklum balas kedua-dua pihak sangat baik, kita akan minta semua pergerakan pemuda UMNO bahagian dan pemuda PAS kawasan untuk perkasakan kerjasama dan silaturahim antara pemuda UMNO-PAS di setiap Parlimen dan mereka akan duduk dan bincang bagi cari titik pertemuan dan persamaan.

“Insya Allah kita akan akan membuat kunjungan balas ke Pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah selepas hari raya nanti” katanya

Katanya lagi pertemuan membabitkan pemuda UMNO-PAS, akan dipanjangkan kepada komponen BN seperti pemuda MIC dan pemuda MCA selepas ini.-MediaUMNO

 

 

 

 

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.