PH Goyang Hendak Adakan PRU Awal – Annuar

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Pakatan Harapan (PH) tidak akan membubarkan Parlimen kecuali terpaksa apatah lagi dengan keadaan sekarang sokongan PH pada tahap yang tidak memuaskan.

Justeru beliau percaya perkara itu tidak akan terjadi dan Kerajaan PH tidak mungkin akan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

“PRU15 mengejut tidak mungkin berlaku kerana PH tidak akan membubarkan Parlimen kecuali terpaksa.

“Ini kerana Kerajaan PH sekarang ini berada dalam keadaan tidak stabil dan berlaku sebarang bentuk pergeseran dalam PH, sudah pasti mereka tidak akan adakan PRU”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa di kediamannya di sini sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa terdapat kemungkinan PRU akan berlaku secara mengejut atau diadakan lebih awal.

Tambah beliau lagi, dalam keadaan sekarang PH dilihat tidak mungkin akan mengambil risiko walaupun secara  legitimasinya Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam proses pengambilalihan mandat kerana mandat sekarang adalah mandat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai fasa kerjasama UMNO-PAS pula, Annuar berkata kerjasama itu kini memasuki fasa baharu.

“Untuk makluman jawatankuasa teknikal sudah siapkan kerangka kerjasama yang cukup komprehensif, di mana kita telah rangka piagam dengan menerusi satu kertas persefahaman.

“Di dalam kertas itu kita sentuh soal calon, kaedah hadapi pilihan raya dan setakat perundingan jawatankuasa teknikal kita tiada masalah langsung,” ujarnya.

Beliau seterusnya menambah kerjasama itu kini akan diperluaskan lagi.

Jelasnya kerjasama UMNO-PAS baru permulaan dan untuk menghadapi PH, BN perlu satu gabungan yang lebih besar melibatkan banyak lagi pihak.

“Jadi kerjasama kita ini hanya permulaan jadi jika permulaan cakap soal kerusi tidak kena pada masanya,” katanya.

Tambah beliau kerjasama ini mesti diperluaskan kepada satu muafakat nasional yang besar dan mengambil kira kelompok-kelompok politik yang lain termasuk parti-parti politik yang mewakili kaum-kaum lain dan juga kepentingan Sabah dan Sarawak.-MediaUMNO

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.