PAS Meriahkan Agihan Bubur Lambuk UMNO Pasir Salak

 

PASIR SALAK, 19 Mei – Setiap kali tibanya bulan Ramadan, UMNO tidak akan ketinggalan menganjurkan program pengagihan bubur lambuk. Namun begitu, kali ini ia lebih istimewa kerana turut disertai oleh parti PAS.

UMNO bahagian Pasir Salak di bawah biro keusahawanannya bersama Wanita dan Puteri bahagian tersebut, turut bekerjasama dengan PAS bahagian menganjurkan program Ihya Ramadhan 1440H bubur lambuk perdana yang diadakan di bazaar Ramadan Kampung Gajah, semalam.

Ketua bahagian tersebut Datuk Seri Tajuddin Rahman berkata, program ini adalah satu program kebiasaan yang diadakan setiap kali tiba bulan puasa namun ia menjadi istimewa kerana kali ini ahli PAS tidak ketinggalan bersama-sama menjayakan program ini.

“PAS sudah menjadi sahabat kita jadi apa-apa program kita buat, jangan tinggalkan sahabat kita. Lagi pun bila kita buat bersama-sama, kemeriahan lebih terasa,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Bagi Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan pula, program sebegini adalah satu usaha murni dan positif lebih-lebih lagi ia melibatkan PAS.

“Kita telah bersama-sama dari pagi bergotong-royong memasak bubur lambuk dan kemuncaknya adalah edaran pada petang ini. Ini adalah satu usaha yang murni dan positif lebih-lebih lagi dengan PAS.

“Saya harap ia akan diteruskan dan Puteri akan bersama-sama Amira PAS dalam program-program akan datang,” ujarnya.

Ketua Wanita bahagian tersebut Datuk Wan Norashikin Wan Nordin menjelaskan, program sebegini sebenarnya dapat mengeratkan lagi ukhwah ke dua-dua parti.

“Esok Wanita dan muslimat PAS pula akan mengagihkan bubur lambuk. Saya melihat bila kita bersama, Melayu Islam bersatu hati demi perpaduan ummah. Selain untuk merapatkan ukhwah, ia juga untuk membela penyatuan Melayu di negara ini maka semua bahagian bukan hanya di Pasir Salak harus teruskan program dan semangat sebegini,” ujarnya.

Timbalan Yang diPertua PAS bahagian Pasir Salak Ustaz Jamaluddin Yahya pula berkata, setakat ini kerjasama anatara PAS dan UMNO sangat erat dan PAS sentiasa bekerjasama dengan UMNO dari semasa ke semasa melalui program seperti ini.

“Saya berharap kerjasama ini akan kekal sehingga ke PRU-15 nanti,” ujar beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.