Yayasan Pahang Belanja RM1.2 Bilion Untuk Pendidikan

KUANTAN 18 Mei – Yayasan Pahang membelanjakan kira-kira RM1.2 bilion untuk membiayai biasiswa, pinjaman dan program pendidikan, sukan, kebudayaan serta kemasyarakatan dalam membantu menggerakkan mobiliti sosial di negeri ini sejak 1983.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai program itu memberi manfaat kepada 1.5 juta penerima mencakupi segenap lapisan masyarakat di semua penringkat pendidikan dan latihan.
Sejak dahulu kepemimpinan kerajaan negeri memikirkan bahawa pendidikan itu penting. Sesebuah negeri yang ingin maju, pendidikan kita letak di tempat pertama.

“Rakyat perlu berilmu kalau ingin majukan negeri, sebab itu kerajaan negeri mencari ruang dan peluang bagi memastikan penduduknya mendapat pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Parlimen Kuantan oleh Yayasan Pahang dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Pahang di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Nawawi; Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Shariff; ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Penyelaras Program, Datuk Seri Abd. Hamid Nazahar.

Seramai 2,904 pelajar dari 30 buah sekolah menengah di Parlimen Kuantan menerima BSM melibatkan implikasi kewangan lebih RM871,000 yang merupakan bayaran penggal kedua bagi tahun ini berjumlah RM300 seorang. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.