Mat Nadzari Memangku Tugas Pengerusi UMNO Selangor

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan memangku tugas sebagai Pengerusi UMNO negeri berkenaan setelah Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melepaskan jawatan terbabit 1 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan medianya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengerusi baru akan diumumkan selepas Aidilfitri nanti setelah berbincang dengan Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya telah memanggil Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Selangor pada 05 April 2019, yang melibatkan Ketua-Ketua Bahagian serta Ketua-Ketua Sayap.

“Dan saya telah mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkuatkuasa pada 01 Mei 2019. Sementara mendapatkan calon pengerusi yang baru, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan memangku tugas pengerusi,” katanya.

Katanya lagi dalam tempoh tersebut pihaknya juga telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-Ketua sayap parti untuk mendapatkan pandangan mereka.

“Sehingga kini beberapa Ketua Bahagian telah menyatakan minat untuk mengisi jawatan tersebut. Mereka adalah pemimpin yang berkebolehan dan berwibawa untuk menerajui UMNO Selangor,” tambahnya.
Tambahnya lagi beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor bagi tempoh sementara dalam usaha untuk meningkatkan prestasi UMNO negeri berkenaan.

“Setelah hampir setahun mengemudi UMNO Selangor, prestasinya telah dapat dipertingkatkan dan kejayaan terbesar adalah kemenangan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihanraya Kecil (PRK) DUN itu pada 2 Mac 2019 lalu.

“Sehubungan itu, saya merasakan UMNO Selangor sudah boleh dipimpin oleh pemimpin-pemimpin UMNO dari Negeri itu sendiri yang mempunyai kemampuan untuk meneruskan kebangkitan parti di Selangor,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.