PTPTN: Dasar Zaman BN Galak Bayar Semula, PH Nak Ganggu Periuk Nasi – Shahril Sufian

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan melihat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah lambang penipuan Pakatan Harapan (PH) yang paling besar sekali.

Tegas beliau janganlah sesekali rakyat lupa bagaimana perkara berkenaan dicanang dan diwar-warkan sebelum ini terutama apa yang terkandung di dalam manifesto mereka.

“PTPTN adalah lambang penipuan PH yang paling besar sekali. Jangan kita sesekali lupa.

“Kini penipuan tersebut menjadi lebih dahsyat – bukan sahaja segala janji tidak tertunai, tetapi mereka nak menambah lagi tekanan berbanding apa yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) yang saya anggap amat sederhana dan sesuai,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Katanya, hari ini PH membayangkan langkah-langkah yang lebih drastik terhadap peminjam PTPTN berbanding zaman BN sebelum ini.

“Sekarang PH membayangkan langkah-langkah lebih drastik, bukan sekadar mahu menghalang keluar negara, tapi nak juga sekat peminjam memperbaharui pasport dan lesen perniagaan.

“Zaman BN dulu buat dasar untuk menggalakkan pembayaran semula, bukan sehingga mengganggu periuk nasi orang,” ujarnya.

Memetik laporan, dilaporkan PTPTN mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.

Dalam taklimat media bersama pentadbiran tinggi PTPTN semalam, termasuk pengerusi Wan Saiful Wan Jan, perbadanan itu sedang melihat beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Menurut Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid, ini termasuk cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.