Momentum Perjuangan Kukuh, Akar Umbi Pastikan UMNO Terus Relevan

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noor Aeini Mohd Ali berkata semangat ahli-ahli UMNO di akar umbi tidak pernah luntur dan semakin kukuh dalam memastikan perjuangan parti untuk membela kedaulatan agama, bangsa dan negara terus relevan.

Katanya, selepas peristiwa hitam melanda UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu, parti keramat ini bertukar menjadi bertambah cekal, kuat dan kukuh untuk kembali bangkit dan menjadi pembangkang yang konsisten.

“Alhamdulillah … walaupun ada pihak yang inginkan UMNO berkubur selepas tewas pada PRU ke-14, kini UMNO semakin pulih dan bersemangat melalui roh perjuangan dari akar umbi yang mempunyai jati diri yang sangat kukuh.

“Biar sebesar mana badai melanda, UMNO semakin teguh perjuangannya dalam membela nasib agama, bangsa dan negara yang tercinta ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah Noor Aeini, pemimpin-pemimpin UMNO dan ahli-ahli yang tidak konsisten dengan parti ramai yang telah keluar meninggalkan parti keramat ini namun bagi ahli-ahli UMNO yang setia dengan parti akan terus kekal dan yakin untuk kembali bangkit menerajui negara ini.

Justeru katanya, momentum kekuatan dan semangat ahli-ahli UMNO ini kembali bersinar apabila UMNO menang tiga kali berturut-turut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan baru-baru ini.

“Semoga UMNO terus segar dalam jiwa dan sanubari setiap ahlinya yang setia,” katanya yang berbangga tetap teguh bersama UMNO dalam usia parti 73 tahun. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.