Setahun Pentadbiran Menteri Besar Pahang, Peluang Dan Cabaran Terus Maju Ke Hadapan

SEMALAM, 15 Mei 2019 genap setahun pentadbiran YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Menteri Besar Pahang.

Di saat hampir keseluruhan negeri-negeri di negara ini mengalami proses perubahan pentadbiran akibat kekalahan Barisan Nasional , Dato’ Sri Wan Rosdy menjadi pilihan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang ( pada ketika itu) untuk meneruskan pentadbiran yang sebelumnya diketui oleh Dato’ Sri Di Raja Hj Adnan Hj Yaacob.

Berstatus negeri pembangkang buat pertama kali, dengan diketuai oleh Menteri Besar yang baharu, ramai yang meramalkan Pahang tidak mampu bertahan lama.

Alhamdulillah, takdir Allah menentukan Pahang tidak bangkrap, pentadbiran dan operasi jentera pentadbiran masih berjalan seperti biasa dan lebih membanggakan, kutipan hasil negeri bagi tempoh Januari sehingga April tahun ini mencatitkan peningkatan sebanyak RM 41 juta daripada RM 140 ke RM 181 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Angka ini terhasil berikutan kecekapan pentadbiran YAB Menteri Besar, individu berlatarbelakang korporat ketika berkhidmat selaku Pengurus Besar Wilayah di Padi dan Beras Nasional (Bernas) serta kesungguhan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang nyata amat senang dan mesra dengan pendekatan yang diamalkan oleh Menteri Besar.

Saya sendiri, ketika hari pertama melapor diri selaku Ketua Pemuda UMNO Negeri diajak oleh YAB Menteri Besar untuk bersarapan di Kantin Wisma Sri Pahang, bersama-sama kakitangan kerajaan negeri yang lain.

Dari segi politik, kejayaan besar sewaktu Pilihanraya Kecil Parlimen Cameron Highlands juga membuktikan kepimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mendapat sokongan padu bukan sahaja di kalangan ahli dan penyokong Barisan Nasional, malah PAS di Negeri Pahang.

Selaku Pengarah Jentera Pilihanraya, YAB bukan sahaja menerima sokongan padu dari bekas Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Hj Adnan Hj Yaacob, malah Naib Presiden UMNO Dato’ Sri Ismail Sabri, Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua-Ketua Bahagian UMNO dalam Negeri Pahang serta didokong dengan kuat oleh kepimpinan MCA dan MIC Negeri Pahang.

Barisan Nasional berjaya di Cemeron Highlands kerana mereka hadir sebagai satu entiti yang bersatu-padu dan kuat.

Masih segar di ingatan penulis, sebaik sahaja mahkamah memutuskan bahawa kerusi Cameron Highlands perlu ditandingi semula, beliau telah memanggil kami kepimpinan sayap untuk sessi perbincangan, pesanan YAB Menteri Besar amat ringkas, “kita tidak boleh kalah kerana ini maruah kita Orang Pahang, tiada hadiah untuk tempat kedua dalam politik dan kemenangan BN dalam pilihanraya kecil ini akan menjadi pencetus semangat untuk seluruh Orang UMNO yang masih tinggal di negara ini. Kerja buat kita ini bukan kerja biasa-biasa”

Dalam konteks penyatuan ummah, Cameron Highlands membuktikkan bahawa formula kerjasama UMNO-PAS adalah formula terbaik untuk kembali ke Putrajaya.

Dalam konteks hubungan di antara Kerajaan Negeri dan Pusat, sikap mesra dan professional YAB Menteri Besar menyebabkan Pahang tidak sangat dilihat sebagai sebuah negeri yang ditadbir pembangkang. Kunjungan demi kunjungan Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Pusat ke Pejabat YAB Menteri Besar merupakan manifestasi kepada hubungan baik ini. Sudah tentu ianya penting demi manafaat rakyat secara keseluruhan.

Dari sudut pelaburan, reaksi positif Kerajaan Singapura terhadap pelawaan Kerajaan Negeri bagi usahawan negara itu melabur dalam pelbagai bidang, terutama berkaitan pertanian dan pelancongan di negeri ini merupakan tanda-tanda yang baik bahawa Pahang akan terus menjadi pilihan pelabur pada masa akan datang. Selaras dengan titah KDYMM Sultan Pahang, agar negeri ini mengurangkan kebergantungan terhadap hasil bumi disahut dengan inisiatif Kerajaan Negeri untuk meneroka bidang-bidang baru berasaskan Teknologi Internet, Pahang baru-baru ini telah memperkenalkan aplikasi Pahang Go ; di mana urusan kerajaan baik dalam bentuk perkhidmatan dan perniagaan dipermudah melalui penggunaan teknologi maklumat.

Antara ujian yang dihadapi Dato’ Sri Wan Rosdy adalah apabila ketegasan beliau menangani masalah pencerobohan kawasan tadahan air di Cameron Highlands dilihat sebagai satu tindakan politik oleh pihak lawan. Fakta menunjukkan bahawa pentadbiran beliau bukan sahaja mengambil tindakan ke atas peneroka tanah haram di Cameron Highlands, malah tindakan sita dan rampas turut membabitkan mereka yang mengusahakan lombong dan kebun secara tidak sah di seluruh negeri. Bagi sesetengah lokasi, kebenaran diberikan dengan syarat kawasan yang diteroka bukan terletak di kawasan sensitif seperti hutan simpan kekal, kawasan tadahan air dan hasil perlu di bayar kepada kerajaan negeri.

Serangan pihak-pihak tertentu terutama daripada pimpinan Pakatan Harapan sehingga kini tidak membuahkan hasil, malah tinjauan di media sosial memperlihatkan YAB Menteri Besar mendapat sokongan padu rakyat yang telah lama mengimpikan tindakan tegas sebegini diambil kerana penerokaan tanpa kawalan merupakan punca kepada masalah alam sekitar yang telah menjejaskan kualiti hidup rakyat negeri ini.

Menjengah setahun pentadbiran YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Menteri Besar, sa tidak berniat untuk menyatakan segalanya serba sempurna dan bebas dari kelemahan.

Namun bak kata-kata beliau yang sentiasa terpahat dalam ingatan “Saya beruntung kerana dalam saat serba sukar ini, saya senantiasa dipandu oleh seorang Raja yang prihatin dan sayangkan negerinya. Baginda Al -Sultan Abdullah tidak lokek untuk berkongsi pandangan dan tunjuk ajar dalam saya dan rakan-rakan Exco menguruskan negeri. Begitu juga dengan KDYMM Pemangku Raja Pahang , Tengku Hassanal dan Pengerusi Jemaah Pangkuan Di Raja Pahang YTM Tengku Muda Pahang yang begitu mengambil berat tentang hal ehwal perjalanan negeri ini. Saya masih punya seorang abang iaitu bekas Menteri Besar yang kekal setia bersama kepimpinan negeri dan sudi memberi nasihat. Rakan-rakan Exco serta kepimpinan bahagian-bahagian yang bersatu-padu, pegawai dan kakitangan kerajaan yang komited serta rakyat yang memahami kedudukan saya selalu Menteri Besar yang berbeza haluan politik dengan kerajaan pusat.”

Selaku Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, saya ingin merakam ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar yang memberi penuh kepercayaan buat saya dan rakan-rakan melaksanakan tugas kami selaku pemimpin kecil bagi anak muda. Terima kasih jua buat kepercayaan yang Dato’ Sri berikan kepada beberapa tokoh muda bagi mengisi tempat di institusi-institusi milik kerajaan negeri dan parti. Saya optimis jumlah ini akan berkembang selari dengan peredaran masa.

Semoga Allah mengurniakan kesihatan, kekuatan dan ketabahan hati kepada YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam tiap urusan untuk tempoh hari-hari mendatang.

MAJU TERUS PAHANG.

Mohd Farid Bin Mohd Nor
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.