Setahun Dah Berlalu… Rakyat Masih Tertunggu-tunggu PH Tunai Janji

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Latipah Omar berkata rakyat sehingga kini terus tertunggu-tunggu dan menagih janji Pakatan Harapan (PH) yang mereka lontarkan semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Beliau berkata, selepas setahun mentadbir negara ternyata kerajaan PH hari ini dilihat gagal menunaikan janji malah PH langsung tidak menunjukkan kemahuan untuk bersungguh-sungguh mengurus tadbir negara dengan baik.

“Kemenangan melalui janji-janji manis membuatkan PH gagal melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan malahan kerajaan yang ada sekarang gagal membela rakyat.

“Barisan kabinet sekarang ini boleh dikatakan semuanya tidak berpengalaman, tiada usaha mentadbir dan mengurus negara dengan cekap, mereka asyik menyalahkan kerajaan terdahulu sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik menguruskan rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujarnya, prestasi menteri dalam PH sangat lemah dan mereka gagal memahami polisi kementerian masing-masing malah mereka bercanggah pendapat antara satu sama lain.

“Ini adalah punca utama dan tiada koordinasi sehingga menyebabkan rakyat keliru.”

Tegasnya, ini jauh berbeza semasa pemerintahan BN dahulu yang mengutamakan rakyat, pentadbiran lancar sehinggakan negara ini mendapat pelbagai pengiktirafan diperingkat antarabangsa.

“Sebenarnya PH mahu menghapuskan semua peninggalan kerajaan BN sedangkan mereka ini kekurangan idea lalu mereka hanya tahu mengambil kesempatan menukarkan jenama dan tetap menyalahkan BN sebagai alasan menutup kegagalan pentadbiran mereka,” ujarnya lagi.

9 Mei lalu genap setahun PH berkerajaan namun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memaklumkan prestasi pencapaian Janji Kerajaan PH bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 April 2019 hanya sebanyak 39.01 peratus sahaja. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.