UMNO Mampu Terus Mengorak Langkah Ke Depan, Akar Umbi Terus Utuh – Shahrir

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad percaya dan penuh yakin UMNO mampu untuk terus mengorak langkah ke depan khususnya berperanan sebagai pembangkang termasuklah mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Baginya setahun sebagai pembangkang memperlihatkan parti mampu bergerak seperti biasa khususnya di akar umbi dan kehadiran bersama dengan masyarakat setempat menyerlahkan segala-galanya bahawa akar umbi parti terus kukuh.

“Kalau saya lihat setahun yang lalu keadaannya, kita berada dalam suasana lebih gusar apabila baru sahaja kalah PRU… tentunya pelbagai perkara bermain di fikiran. Namun begitu sesudah setahun nampaknya di peringkat akar umbi UMNO masih mantap lagi.

“Apabila setiap kegiatan masyarakat kita hadir dan sebagainya UMNO terus boleh bergerak ke depan. Bezanya hari ini kita tidak ada dalam kerajaan tetapi di kalangan ahli UMNO di peringkat akar umbi terutama di Johor mereka boleh cakap dengan saya… ‘Datuk, kita ini tidak terasa seperti pembangkang…’ di peringkat masyarakat, pemimpin UMNO seperti ketua cawangan sebagainya semua masih mantap,” katanya kepada UMNO-Online, baru-baru ini.

Katanya lagi walaupun balai raya kena ‘rampas’ dan sebagainya, itu adalah kegiatan sampingan dan mereka menggunakan kuasa yang ada untuk ambil alih.

“Kita di akar umbi berjalan seperti biasa dan kehadiran pada mesyuarat cawangan pun macam biasa. Jadi maknanya kalau kita dah boleh melalui setahun yang pertama ini dengan keyakinan sebegitu dan semangat yang sama, saya ingat kita boleh terus bergerak sehingga ke PRU-15.

“Sepertimana kata-kata Tok Mat… UMNO ini adalah perjuangan yang mendokong masyarakat dan bukannya individu. Daripada masyarakat kepada sebuah negeri dan sebuah negeri kepada sebuah negara. Semuanya sudah lengkap ikut Perlembagaan dan kita kena terima perjuangan kita. Kita tidak bergantung kepada pemimpin sahaja… inilah kekuatan UMNO,” tambahnya.

Sabtu lalu, lebih dua ribu ahli dan pendokong parti menyambut ulang tahun UMNO ke-73 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam suasana sederhana namun ianya penuh bermakna.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang kemudian diikuti ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden UMNO.

Majlis diteruskan dengan iftar dan akan diikuti solat Maghrib, solat hajat yang diketuai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum kemudiannya solat Isyak dan solat Terawih. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.