Ugutan Kit Siang Terhadap Tun M Ibarat Ada Agenda Tersembunyi

PERMATANG PAUH, 15 Mei – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Md Said berkata, kesungguhan veteran Dap Lim Kit Siang memberi tekanan kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan menimbulkan persoalan berkaitan agenda yang tersembunyi di sebaliknya.

Jelas beliau, ‘ugutan’ tersebut seperti menggambarkan keinginan Kit Siang untuk merealisasikan agenda peribadi dan Dap sendiri namun secara tidak langsung ia menimbulkan beberapa persoalan lain.

“Bagi saya ‘ugutan’ Kit Siang ini adalah satu tekanan yang serius kepada Tun M untuk menunaikan janji. Namun persoalannya apa pula janji Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kit Siang sekiranya beliau menjadi PM Ke-8? Adakah kerana janji tertentu maka Kit Siang bersungguh-sungguh mahu Anwar menjadi PM?

“Inilah yang membimbangkan rakyat, kesungguhan Kit Siang untuk menjadikan mimpi Anwar sebagai realiti ibarat ada agenda tersembunyi. Adakah ia berkaitan untuk merealisasikan agenda peribadi dan Dap sendiri atau selepas ini Anwar hanya akan menjadi boneka kepada cita-cita politik Dap sekian lama,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Zaidi, apapun keputusan Kit Siang, ugutan terhadap Tun M tidak seharusnya berlaku jika dia sayangkan kemakmuran dan keamanan Malaysia kerana Kit Siang sendiri pernah mengakui Malaysia di bawah pentadbiran Tun M pasti lebih baik dari jatuh ke tangan insan bernama Anwar Ibrahim.

“Bagi saya, sesuai dengan ugutan ini Tun perlu menilik alternatif terbaik membuang segala ego, saling memaafkan dan membuka musyawarah bersama UMNO, PAS serta parti-parti di Sabah, Sarawak bagi menutup keangkuhan Kit Siang.

“Walaupun Kit Siang mungkin ikhlas untuk berundur dari dunia politik, saya anggap ini satu keputusan yang sangat tepat kerana saat ini Dap berada di puncak kejayaan terhebat.

“Kit Siang pasti sedar pengabungan dua parti politik utama Melayu iaitu UMNO dan PAS sudah pasti akan menghancurkan PH dalam PRU-15. Jadi, demi maruah adalah lebih baik beliau berundur saat ini dari merengkok melihat jatuhnya kerajaan sepenggal yang dia pejuang selama lebih 60 tahun,” bidas Zaidi.

Baru-baru ini Kit Siang mengeluarkan kenyataan sedia bersara dari politik jika Tun M enggan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.