Alang-alang Jadi Pembangkang, Kita Terus Tuntut Janji PH Untuk Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata peranan setahun sebagai pembangkang memperlihatkan keberkesanan yang menyeluruh dan memberi impak yang meyakinkan kepada rakyat khususnya menuntut segala apa yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Bagi beliau alang-alang menjadi pembangkang, biarlah menjadi pembangkang berkesan dan Alhamdulillah setahun sebagai pembangkang menampakkan hasil yang cukup baik untuk manfaat dan kepentingan rakyat.

“Ada banyak kaedah untuk menjadi pembangkang berkesan antaranya ialah terus kita menyatakan apa yang tidak baik mereka lakukan, janji-janji palsu begitu juga kegagalan mereka daripada sudut ekonomi, keharmonian kaum dan agama serta sudut antarabangsa.

“Mereka mengakui markah cuma 5 daripada 10, mereka sendiri mengakui janji hanya 39 peratus. Jadi atas sebab itu kita hendaklah terus menjadi pembangkang yang berkesan kerana pembangkang yang kuat memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menambah, 73 tahun UMNO telah menabur jasa ke seluruh negara menerusi Barisan Nasional (BN).

“Kita baru sekali kalah dan 13 kali menang dalam PRU… oleh itu saya ingin menyeru kepada ahli UMNO agar bertekad terus muhasabah diri dan pada ketika yang sama, kita terus berjuang dan jangan tinggalkan parti ini yang telah banyak berjasa kepada keluarga kita, masyarakat kita, negara kita, agama kita, pada bangsa kita dan sebagainya.

“Jangan kerana kita baru tewas sekali maka kita lemah semangat. Kita kena kukuhkan semangat untuk terus membantu rakyat setakat mana yang kita boleh dengar suara rakyat dan kita perjuangkan nasib mereka. Kita ada media sosial… saluran yang amat-amat berkesan yang dilihat lebih daripada media tradisional dan oleh itu kita perlu memainkan peranan di media sosial,” ujarnya.

Ujarnya lagi, ahli UMNO juga perlu menggerakkan kempen pendaftaran sebagai pengundi dan mencari seramai yang mungkin kerana jika berdasarkan sejarah yang lalu, Tun Dr Mahathir pernah mengadakan PRU dalam tempoh tiga tahun setengah daripada PRU sebelum itu.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.